KUALA LUMPUR: Selepas dua tahun tidak dipertandingkan nyata ‘aura’ final Piala FA cukup mengujakan apabila Stadium Nasional Bukit Jalil dibanjiri lautan penyokong Terengganu FC (putih/hitam) dan Johor Darul Ta’zim (JDT)(biru/merah).
Perkarangan stadium mula dibanjiri pada pukul 2 petang biarpun pintu stadium mula dibuka kepada penyokong pada pukul 5 petang.
Pelbagai gelagat dapat disaksikan terutama daripada segi pakaian yang diperagakan oleh penyokong kedua-dua pasukan.
Empat orang penyokong Terengganu Firdaus Ridzuan Ramli, Saifudin Ramli, Syahmi Abdullah dan Firdaus Ibrahim yang juga merupakan ahli keluarga memilih untuk memakai pakaian seperti pontianak dan ternyata ia mencuri tumpuan penyokong lain untuk bergambar di perkarangan Stadium Nasional, Bukit Jalil, hari ini.

Firdaus Ridzuan berkata, ini bukan kali pertama dia bersama saudaranya mengenakan imej sedemikian apabila pernah tampil dengan imej pocong ketika TFC ke final pada 2011.
“Kita tampil dengan imej pontianak tahun ini sebab tahun sebelum ini kami buat pocong dan pernah viral. Sudah 11 tahun kami tunggu untuk ke final, jadi kami tampil dengan imej pontianak untuk membakar semangat kita melawan JDT.
“Kami rancang benda sudah lama, jadi bila ada final kami buat, malah setiap kali pergi final kami akan cuba buat kelainan.
“Kami buat ini (imej pontianak) sebagai penawar, JDT jadi lemah. Harapan kami untuk melihat Terengganu menang Piala FA anggaran kita tak nak banyak, 2-1 saja,” katanya ketika ditemui di perkarangan stadium.
Dianggarkan lebih 80,000 penyokong bakal menjadi ‘saksi’ perlawanan final antara JDT yang memburu kejuaraan keduanya manakala Terengganu kali ketiga.