JOHOR BAHRU: Lebih 5,000 penyokong tegar JDT daripada kelab Boys of Straits (BOS), Kelab Penyokong Gate C dan Johor FC bergerak seawal 7 pagi dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menuju Stadium Bukit Jalil bagi menyaksikan final Piala FA, malam ini.
Sebanyak 57 buah bas disediakan untuk membawa penyokong JDT untuk memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Selatan yang akan membuat perhitungan dengan Terenganu FC bagi merebut Piala FA.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para penyokong mula berkumpul seawal pukul 6.30 pagi di pekarangan stadium sebelum bergerak secara konvoi ke Bukit Jalil.
Sementara itu, 3,000 ahli BOS telah bersiap sedia dengan gendang dan bendera bagi menaikkan semangat para pemain dan juga penyokong JDT yang datang dari seluruh daerah bagi menyaksikan perlawanan akhir yang kali terakhir JDT menjulang Piala FA pada tahun 2016.
Mereka berharap skuad JDT mampu membawa pulang semula piala berkenaan ke Johor. – UTUSAN ONLINE