fbpx

Pearly Tan lega ‘bebas’ ACL

PEARLY Tan terpaksa ditolak dengan kerusi roda selepas mengalami kecederaan ketika beraksi menentang pasangan Korea Selatan pada Terbuka Jepun di Osaka. - IHSAN MEDIA SOSIAL

PETALING JAYA: Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mendapat perkhabaran gembira apabila disahkan bebas daripada mengalami kecederaan serius anterior cruciate ligament (ACL) selepas menjalani pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN), kelmarin.

Bagaimanapun, Pearly dilaporkan mengalami kecederaan hamstring di kakinya yang memaksa pemain itu perlu menjalani rawatan pemulihan untuk tempoh sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu.

Justeru besar kemungkinan pemain yang bergandingan dengan M.Thinaah ini mungkin akan terlepas aksi di Kejohanan Terbuka Denmarka yang dijadualkan berlangsung 18 hingga 23 Oktober depan.

“Saya baru selesai bertemu dengan doktor hari ini (kelmarin) dan keputusannya agak positif sebab lutut saya dilaporkan okay, tetapi ada di bahagian tendon hamstring memerlukan tempoh untuk pemulihan.

“Saya agak lega dengan perkhabaran ini memandangkan tiada apa yang serius tetapi saya masih perlukan rawatan rehab untuk pulih daripada kecederaan hamstring.

“Berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh doktor, saya memerlukan masa antara empat hingga enam minggu untuk pulih, tetapi itu semua bergantung kepada keadaan badan saya,” jelas Pearly kepada Utusan Malaysia.

Dalam pada itu, menurut pihak ISN, pegawai bertugas, Dr Jamiza Khuzairi Jasme berkata kecederaan di alami Pearly tidak begitu serius tetapi masih memerlukan pantau rapi.

“Dua minggu pertama proses rawatan adalah amat penting, dan kami akan mulakan dengan rawatan fisioterapi terlebih dahulu, dan harapnya tiada apa yang serius, kerana ada sesetengah kes, seperti di bahagian meniscus, simptomnya sedikit terlewat,  jadi perkara sebegini kami akan pantau rapi.

“Sebenarnya saya sudah bertahun merawat Pearly, dan Pearly merupakan seorang pemain yang kuat, jadi kadar pemulihan dia agak cepat dan laju, jadi kita mengharapkan kes ini juga sebegitu,” jelasnya ketika ditemui oleh media. 

Pearly ditimpa kecederaan ketika beraksi menentang pasangan Korea Selatan, Baek Ha Na dan Lee Yu Lim di pusingan kedua Terbuka Jepun minggu lalu.

Tahun lalu di Terbuka Denmark, gandingan Pearly dan Thinaah tersekat di pusingan pertama di tangan juara Olimpik, Apriani Rahayu dan Greysia Polii dari Indonesia.

 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN