Nadal sedih bermain dengan Federer buat kali terakhir

Nadal sedih bermain dengan Federer buat kali terakhir

(Dari kiri) Andy Murray, Novak Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal yang mewakili pasukan Pilihan Eropah bergambar sebelum sesi latihan Piala Laver di O2 Arena, London semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Rafael Nadal diberi penghormatan untuk bergandingan dengan Roger Federer dalam penampilan terakhir legenda tenis Switzerland itu pada Piala Laver hari ini.

Gandingan Nadal-Federer akan menentang pasangan Amerika Syarikat (AS), Frances Tiafoe-Jack Sock dalam kejohanan berpasukan yang menemukan Pilihan Eropah dengan Pilihan Dunia.

Biarpun ia detik istimewa, namun Nadal mengakui, ber­aksi dalam perlawanan ter­akhir Federer sesuatu yang amat menyedihkan dan cukup beremosi buat mereka.

“Ia saat yang sangat menyedihkan tetapi begitulah ke­adaannya. Itulah kehidupan.

“Saya doakan yang terbaik buatnya. Terbaik daripada yang terbaik dalam setiap perkara. Dia berhak mendapatnya (kesihatan, keluarga, kejayaan) dan segala-galanya,” kata pemilik 22 gelaran Grand Slam, Nadal.

RAFAEL Nadal (kiri) menganggap hubungannya dengan Roger Federer cukup istimewa.

Jaguh Sepanyol tersebut me­ngakui, dia sedih tetapi bangga dan gembira dapat terlibat dalam perlawanan akhir pemain berusia 41 tahun itu.

“Kami sentiasa mempunyai hubu­ngan yang sangat mudah dan positif.

“Saya tidak tahu tetapi sejak awal, saya rasa perasaan positif, malah telah berkembang dengan cara yang lebih baik selama ini.

“Di dalam dan luar gelanggang kami sering bersama, jadi kami dapat membina hubu­ngan dengan cara yang sangat positif,” katanya.

Mengulas gandingannya bersama Federer, yang memiliki 20 gelaran Grand Slam, Nadal secara jujur menyifatkan ia akan menjadi aksi yang sukar untuk dikendalikan.

“Saya fikir ia detik yang tidak akan dapat dilupakan. Saya bangga dan gembira ­berada di sebelahnya pada saat istimewa ini,” katanya.

Federer telah mengumumkan persaraannya daripada tenis minggu lalu kerana me­ngalami kecederaan lutut dan tidak bermain sejak Wimbledon 2021.

Selain Nadal dan Federer, pasukan Pilihan Eropah turut dibarisi juara Grand Slam 21 kali, Novak Djokovic dari ­Serbia.
Jaguh Britain yang juga pemilik tiga kejuaraan Grand Slam, Andy Murray melengkap­kan barisan bintang Eropah dalam aksi di London itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya