MANCHESTER: Manchester United memberi penghormatan kepada Ratu Elizabeth II yang mangkat beberapa jam sebelum mereka mengalami kekalahan 0-1 kepada Real Sociedad dalam aksi Liga Europa awal pagi tadi.
Pemain United, West Ham serta Arsenal yang mewakili England dalam kejohanan kelas kedua dan ketiga Eropah, semuanya memakai lilitan lengan hitam selepas Ratu mereka meninggal dunia pada usia 96 tahun.
Suasana suram menyelubungi Old Trafford dan Stadium London, dengan United dan West Ham kedua-duanya bertafakur selama seminit sebelum sepak mula.
Di Old Trafford, penyokong United kelihatan menangis di tempat duduk, manakala peminat Sociedad turut memberikan penghormatan.
Manchester United shares the sorrow of the entire nation following the announcement from Buckingham Palace on the passing of Her Royal Highness The Queen Elizabeth II. pic.twitter.com/QwLRZ9z4yf
— Manchester United (@ManUtd) September 8, 2022
“Manchester United berkongsi kesedihan seluruh negara berikutan pengumuman dari Istana Buckingham mengenai kemangkatan Duli Yang Maha Mulia, Ratu.
“Kelab mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada kehidupan awam, termasuk sukan di United Kingdom, seluruh Komanwel dan di seluruh dunia,” kata United dalam satu kenyataan.
Sociedad meraih kemenangan pada minit ke-59 apabila pertahanan United, Lisandro Martinez dihukum kerana bola terkena tangannya.
Brais Mendez menyempurnakan sepakan penalti menewaskan David De Gea.
We are deeply saddened to hear of the passing of Her Majesty The Queen.
Along with many of our supporters today, we will be taking time to mourn and reflect on Her Majesty’s incredible life and devoted service.
— Arsenal (@Arsenal) September 8, 2022
Sementara itu dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, Arsenal menumpaskan FC Zurich 2-1 di Switzerland biarpun bermain dalam kesedihan.
Marquinhos, 19, yang ditandatangani dari Sao Paulo pada Jun lalu, menjaringkan gol selepas menerima hantaran Eddie Nketiah pada minit ke-16 untuk meletakkan Arsenal di hadapan dekat St Gallen.
Zurich yang juga juara Switzerland musim lalu, menyamakan kedudukan minit ke-44 apabila Mirlind Kryeziu menyempurnakan sepakan penalti selepas Nketiah melakukan kekasaran di dalam kotak penalti.
Nketiah menebus kesilapannya dengan menjaringkan gol kemenangan minit ke-62 apabila menanduk masuk hantaran Marquinhos.

Sementara itu, bekas pengurus United, Chelsea dan Tottenham, Jose Mourinho memberi penghormatan kepada Ratu selepas Roma kalah 1-2 kepada kelab Bulgaria, Ludogorets dalam satu lagi saingan.
“Saya bersimpati. Saya sudah tinggal di England selama bertahun-tahun, keluarga saya juga ada di sana.
“Saya fikir tidak ada sesiapa yang tidak menghargai wanita hebat ini,” kata Mourinho kepada Sky Sport Italy. – AGENSI