PETALING JAYA: Tanda tanya siapa bakal menggalas tugas Ketua Jurulatih Perak FC dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan terjawab selepas pasukan itu melantik Lim Teong Kim.
Perak FC dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan pelantikan bekas jurulatih skuad remaja Bayern Munich itu yang mengikat kontrak dua tahun dengan pilihan memperbaharui kontrak untuk setahun lagi.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata sudah tiba masanya untuk Bos Gaurus menyusun semula pasukan selepas kekalahan berterusan dalam tiga perlawanan terakhir Liga Perdana.
“Perak FC terpaksa menjalani tempoh peralihan dan kami kini sudah menyelesaikan semua masalah yang timbul. Tiada lagi alasan untuk musim depan kerana kami mempunyai masa yang cukup dan jurulatih terkemuka yang ditambah dalam senarai kami.
“Matlamat utama kami ialah menstabilkan kelab, untuk mengekalkan status kompetitif kami dengan pengambilan skuad baharu.
“Pandangan Teong Kim dalam pengurusan akar umbi dan pengendalian pemain muda sangat penting kepada PFC dalam proses membina semula pasukan mampan yang boleh bersaing untuk merebut kejuaraan,” katanya.
Teong Kim memiliki pengalaman jurulatih selama 12 tahun bersama pasukan bawah 19 tahun (B-19) Bayern Munich dan membimbing pemain seperti Thomas Muller, David Alaba, Toni Kroos serta Emre Can.
Beliau juga pernah berkhidmat bersama kelab Itali, Bologna, mengendalikan pemain seperti Nicola Sansone dan Roberto Soriano.
Di peringkat tempatan, Teong Kim pernah memegang jawatan Pengarah Projek Pembanguna Bola Sepak Nasional (NFDP) pada 2013 dan dilantik sebagai Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) pada 2016.
Perak PC turut mengesahkan jurulatih sekarang, Yusri Che Lah ditugaskan untuk membangunkan skuad Perak B-23 musim depan. – UTUSAN ONLINE