Kesabaran tinggi kunci kejayaan KL City

Kesabaran tinggi kunci kejayaan KL City

PEMAIN Kuala Lumpur City meraikan kejayaan menumpaskan ATK Mohun Bagan 3-1. - IHSAN KL CITY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Meskipun dilihat lebih banyak bertahan dan kurang menguasai bola, namun ia bukan halangan untuk Kuala Lumpur City (KL City) terus menulis sejarah dalam saingan Piala AFC.

Pengendali KL City, Bojan Hodak mengakui peratusan penguasaan bola dan percubaan lebih memihak kepada ATK Mohun Bagan tetapi memuji anak-anak buahnya yang cukup bersabar menahan asakan bertali arus pasukan tuan rumah.

Jelasnya, segala perancangan yang direncana nyata membuahkan hasil terutama menerusi serangan balas pantas.

“Jika anda bermain di tempat lawan, di depan peminat sendiri tentu anda masuk menyerang. Jadi ia menjadi sebab kenapa kami perlu bersabar (bertahan).

“Kami sedar masa terbaik akan tiba sama ada cepat atau lambat, mereka pasti akan membuka ruang kepada kami untuk menjaringkan gol. Ia taktikal yang dirancang sebelum perlawanan.

“Kami datang untuk menang, dan kami tahu taktikal apa yang diperlukan untuk memerangkap lawan. Semua yang kami rancang dilaksanakan dengan baik oleh semua pemain, kami semua sangat gembira,” katanya selepas perlawanan.

ROMEL Morales meraikan gol ketiga Kuala Lumpur City ketika menumpaskan Mohun Bagan pada separuh akhir Antara Zon Piala AFC di Kolkata, India malam tadi. – IHSAN AFC

Terdahulu, KL City terus mencipta sejarah di pentas Piala AFC musim ini apabila berjaya mengesahkan tempat ke final Antara Zon.

Lebih manis, kejayaan itu tercipta di gelanggang lawan selepas The City Boys menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan 3-1 pada separuh akhir Antara Zon di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan, Kolkata, kelmarin.

Kapten KL City Paulo Josue membuka tirai jaringan namun kedudukan itu dipadam oleh Fardin Ali Molla.

Tersentak dengan jaringan itu, KL City bangkit dengan dua gol hasil ledakan Fakrul Aiman Sidid dan Romel Morales.

KL City akan berdepan PFC Sogdiana di final Antara Zon yang dijangka berlangsung bulan depan selepas kelab Uzbekistan itu menewaskan wakil Hong Kong, Eastern Long Lions dalam satu lagi aksi separuh akhir.

PAULO Josue (kiri) meraikan jaringannya bersama Hadin Azman. – IHSAN AFC

“Kami akan bermain pada 5 Oktober nanti dalam keadaan cuaca sejuk di sana (Uzbekistan). Ia akan menjadi masalah untuk kami kerana kebanyakkan pemain tidak pernah bermain dalam cuaca sejuk.

“Sogdiana adalah pasukan yang kuat dan saingan akan berlangsung sengit. Tetapi perkara paling penting kami bermain tanpa tekanan kerana kami telah mara sejauh ini, kami akan menikmati dan memberi yang terbaik.

“Itu yang saya sering katakan kepada pemain,” kata pengendali dari Croatia itu yang turut mencipta sejarah buat KL City ketika menamatkan kemarau 32 tahun Piala Malaysia tahun lalu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN