Juara dunia bantu lonjak prestasi Fakhrullah

Juara dunia bantu lonjak prestasi Fakhrullah

MUHAMMAD Fakhrullah Mohd. Rumaize menerima trofi Atlet Lelaki Terbaik Sukma 2022 daripada jaguh berbasikal trek, Azizulhasni Awang. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menerima pendedahan selama dua ming­gu di Hungary di bawah bim­bingan jurulatih profesional yang merupakan juara dunia banyak membantu meningkatkan prestasi atlet kanu Johor, Muhammad Fakhrullah Mohd. Rumaize.

Atlet Terbaik Sukma Malaysia (Sukma) ke-20 berkata, dia dan rakan-rakan sepasukan yang lain telah dihantar berlatih di Hungary bagi mempertajamkan kemahiran serta teknik.

“Saya berlatih dengan jurulatih profesional, dia merupakan juara dunia dari Hungary,” katanya selepas upacara penutup Sukma di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi kelmarin.

Atlet berusia 21 tahun itu merangkul sembilan pingat emas dengan dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan.

Mengulas lanjut tentang pencapaiannya di pentas Sukma, Fakhrullah memberitahu, pencapaian seniornya yang merangkul pelbagai kejayaan dalam sukan kanu telah mendorongnya bekerja keras untuk mengikut jejak langkah mereka.

“Paling perit sehingga saya tak boleh lupa semasa saya masih remaja ialah melihat senior saya berjaya. Jadi, jika mereka boleh buat, saya juga boleh lakukannya.

“Justeru, saya berasa sangat bangga apabila kami berjaya membolot pingat di Sukma, kami memang berhabis-habisan kerana ramai dalam kalangan kami yang membuat penampilan ter­akhir,” katanya.

Bercakap pula tentang anugerah yang diterimanya, Fakhrullah menjelaskan, dia sama sekali tidak menduga akan dinobatkan sebagai atlet terbaik, lebih-lebih lagi me­nerima anugerah daripada ­jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang.

“Saya memang tidak menduga dapat anugerah ini, terutama daripada Datuk Azizulhasni, tangan saya menggigil dapat bersua muka dengannya.

“Selama ini fokus saya ialah kepada latihan dan inilah hasil usaha selama tujuh, lapan tahun,” ujarnya yang berharap sukan kanu akan mendapat tempat di hati rakyat Malaysia pada satu hari nanti.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya