JDT mahu 'tapau' semua trofi yang ditawarkan

JDT mahu ‘tapau’ semua trofi yang ditawarkan

PEMAIN JDT meraikan kejayaan muncul juara Piala FA selepas menumpaskan Terengganu FC kelmarin. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas dinobatkan sebagai juara Piala FA 2022, Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin bernafsu untuk membolot semua kejuaraan yang ditawarkan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim ini, sekali gus memahat sejarah sebagai kelab pertama merangkul gelaran ‘quadruple’ (empat trofi).

Memimpin Liga Super ketika ini dengan kelebihan enam mata dan kurang dua perlawanan di depan pencabar terdekat Sabah FC, skuad bimbingan Hector Bidoglio dilihat tidak berdepan masalah untuk terus mendominasi kali kesembilan.

Bidoglio berkata, anak-anak buahnya menunjukkan ‘belang’ sebenar apabila mudah mendominasi perlawanan akhir ketika menumpaskan Terengganu FC 3-1 kelmarin.

Ia adalah trofi kedua dimenangi Harimau Selatan musim ini selepas menjulang Piala Sultan Haji Ahmad Shah dengan menumpaskan Kuala Lumpur City (KL City) dalam perlawanan Sumbangsih, Februari lalu.

PEMAIN JDT meraikan kejayaan muncul juara Piala FA selepas menumpaskan Terengganu FC kelmarin. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON

Kata Bidoglio, sasaran pasukan selepas ini tertumpu kepada baki saingan Liga Super sebelum fokus terakhir adalah untuk bersaing pada kempen Piala Malaysia yang dijadualkan bermula bulan depan.

“Ini adalah keputusan yang cukup positif kerana ia melonjakkan lagi semangat pemain untuk mengharungi baki saingan ini dengan cemerlang. Kita sudah mendapat trofi Piala FA yang diidamkan.

“Selepas ini fokus terarah untuk meraih gelaran Liga Super yang semakin berada di penghujung saingan sebelum memberi tumpuan kepada kempen Piala Malaysia.

“Saya mahu pemain tidak berpuas hati dengan kejayaan semasa dan terus bekerja keras untuk merealisasikan impian membolot semua kejuaraan Liga M musim ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada aksi tersebut, JDT melakar kemenangan hasil dua gol ledakan Bergson Da Silva dan satu jaringan sumbangan Arif Aiman Hanapi manakala gol saguhati TFC dilakukan oleh Kipre Tchetche.

Hanya Kedah Darul Aman (KDA FC) yang pernah mencatat gelaran treble pada kempen Liga M pada 2007 dan 2008 manakala Kelantan pula pada 2012 dengan menjulang trofi Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia tahun yang sama.

Bagaimanapun jika JDT berjaya menjulang trofi Liga Super dan Piala Malaysia , mereka akan menjadi pasukan pertama dalam sejarah yang merangkul empat trofi apabila turut menjuarai saingan Piala Sumbangsih awal tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN