BARCELONA: Robert Lewandowski meledak hatrik untuk membantu Barcelona membelasah Viktoria Plzen 5-1 dalam aksi pembukaan Kumpulan C, Liga Juara-Juara sebentar tadi.
Bintang penyerang Poland itu mengharungi aksi ‘pemanas badan’ yang sempurna sebelum menentang bekas pasukannya, Bayern Munich minggu depan.
Bayern turut bermula langkah kanan apabila menumpaskan gergasi Itali, Inter Milan 2-0 di tempat lawan.
Lewandowski, 34, membuktikan dia adalah pembelian berbaloi buat Barca selepas meledak lapan gol hanya dalam lima perlawanan bersama gergasi Sepanyol itu sejak meninggalkan Bayern, Julai lalu.
Tandukan Franck Kessie meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-13 sebelum Lewandowski menggandakan kedudukan di minit ke-34.
🔝⚽️#UCL pic.twitter.com/nUT5ERWeyw
— UEFA Champions League (@ChampionsLeague) September 7, 2022
Biarpun Jan Sykora merapatkan jurang 2-1 buat Plzen, 10 minit kemudian, namun Lewandowski memastikan pasukannya menutup babak pertama dengan kelebihan 3-1 apabila meledak gol keduanya pada minit ke-45.
Lewandowski yang membantu Bayern muncul juara Eropah musim 2019-2020 melengkapkan hatrik pada minit ke-67 selepas menerima hantaran Ferran Torres.
Torres kemudian menyempurnakan gol kelima Barcelona pada minit ke-71.
“Lewandowski menunjukkan kelasnya malam ini. Dia antara penyerang terbaik dunia,” kata pengendali Viktoria Plzen, Michal Bilek.
Lewandowski muncul pemain pertama meledak hatrik dalam Liga Juara-Juara bersama tiga pasukan berbeza.
Dia pernah melakukannya ketika menyarung jersi Borussia Dortmund dan Bayern. – AGENSI