KUALA TERENGGANU: Penyokong setia Terengganu FC (TFC) berharap aksi final Piala FA di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), malam ini berlangsung dalam suasana meriah tanpa insiden tidak diingini.
Sahkaizar Ab. Razak, 43, dari Kampung Telaga Mengkudu, di sini, berkata, penyokong TFC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) perlu menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.
Menurutnya, hanya sedikit provokasi akan terus mencemarkan kemeriahan dan bahang perlawanan akhir terutama dalam kalangan penyokong Sang Penyu yang berkelana jauh dari Pantai Timur.
“Sudah tentu semangat penyokong lebih membara kali ini. Pertama, kerana TFC bertemu JDT dan kedua, sudah empat tahun pasukan kami tidak menjejakkan kaki ke final.
“Pengadil, Nazmi Nasarudin, yang dipilih mengadili permainan juga harus bijak mengawal perlawanan serta tidak membuat keputusan kontroversi yang membunuh semangat TFC dan JDT.
“Penyokong kedua-dua pasukan datang dari jauh. Jadi diharap biar perlawanan berkualiti disajikan kedua-dua pasukan dan memuaskan hati penonton,” katanya ketika ditemui bersama 40 penyokong TFC yang bertolak ke SNBJ, semalam.
Muhamad Shahrul Ikhwan Muda, 28, berkata, dia meramalkan kemenangan 2-0 akan berpihak kepada TFC sekaligus membawa pulang trofi Piala FA ke bumi Darul Iman buat kali pertama sejak 2011.
“Saya memperuntukkan hampir RM3,000 untuk membawa isteri dan tujuh adik-beradik ke SNBJ termasuk kos sewa bas, tiket, penginapan, makan dan belanja sepanjang di sana.
“Kami harap sokongan padu diberikan ini dapat memberi suntikan moral buat pemain-pemain TFC. Penonton juga perlu mengawal emosi agar tidak berlaku sebarang kejadian buruk,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE