KUALA LUMPUR: Kapten Johor Darul Ta’zim (JDT), Farizal Marlias yang tidak beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA 2016 bersedia untuk membantu pasukannya memburu kejuaraan kali ini.
Berdepan Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, penjaga gol kebangsaan itu mengakui, segala keputusan sama ada membarisi kesebelasan utama atau tidak terletak di tangan ketua jurulatih, Hector Bidoglio.
Begitupun dia sudah bersedia untuk mengekang asakan sukar Terengganu jika diberi kepercayaan dan mengakui skuad bimbingan Mohd. Nafuzi Zain itu lawan yang getir kerana pernah menundukkan JDT di laman sendiri pada aksi Liga Super tahun lalu.
“Inilah final Piala FA pertama saya (dalam kesebelasan utama). Sekiranya diberi peluang, saya akan melakukan yang terbaik.
“Terengganu satu pasukan yang konsisten dari segi permainan mereka. Kemampuan memegang bola juga baik.
“Serangan mereka juga baik, jadi kita harus mengurangkan kesalahan di bahagian pertahanan supaya tidak memberi ruang mereka menjaringkan gol,” katanya.
JDT berpeluang menambah kejuaraan ketiga Piala FA sekiranya menang ke atas Terengganu selepas kali pertama menjulang trofi itu pada 1998 dan terakhir 2016.