KUALA LUMPUR: Nurul Afiqah Muhammad Zamzuri terpaksa akur angkatan yang dilakukan yang sepatutnya menjadi rekod kebangsaan tidak dikira gara-gara isu teknikal.
Begitupun atlet Terengganu itu tetap gembira kerana pingat emas yang dimenangi dalam acara 45 kilogram (kg) wanita hari ini memadam detik hitam 2018 apabila pingat yang dimenangi pada Sukan Malaysa (Sukma) di Perak ketika itu dibatalkan angkara positif doping.
Nurul Atiqah, 22, meraih emas dalam 45kg di Putrajaya hari ini selepas melakukan angkatan keseluruhan 136kg – 55kg untuk snatch dan 80kg bagi clean & jerk.
Angkatan 80kg sepatutnya menjadi rekod kebangsaan apabila dia memperbaharui rekod lama miliknya iaitu 77kg di Sukan SEA 2019, namun disebabkan penarikan diri Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) selaku pengendali susulan kes doping, rekod berkenaan tidak dikira.
“Pingat emas ini sangat bermakna buat saya kerana sebelum ini saya meraih emas pada edisi 2018, namun, ditarik balik.

“Malah, pada edisi kali ini saya bukan sahaja dapat emas, tapi berjaya pecah rekod kebangsaan milik saya sendiri dalam disiplin clean and jerk. Dulu 77kg sekarang saya berjaya buat 80kg.
“Bagaimanapun, saya sedih kerana difahamkan rekod kebangsaan itu tidak dikira. Jadi, saya harap mereka boleh iktiraf semula kerana saya sudah buat yang terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat dalam satu kenyataan mengumumkan untuk menarik diri daripada mengendalikan sukan angkat berat pada temasya tersebut susulan tiga atlet dari dua negeri terbabit dengan isu doping.
Insiden itu memaksa badan induk sukan angkat berat tersebut ‘meninggalkan’ Sukma dengan mengikut ketetapan seperti diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM, sebelum ini.
Ketetapan itu menyatakan sekiranya terdapat atlet ahli gabungan atau persatuan negeri yang positif doping, penyertaan atlet berkenaan dan atlet lain dalam ahli gabungan atau persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung dari Sukma 2022.
Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Suhardi Alias berkata, pihaknya akan berbincang dengan PABM bagi mengiktiraf rekod kebangsaan yang dicipta dalam sukan angkat berat.
“Mungkin ada perselisihan sikit dengan PABM. Bagaimanapun, kami akan berunding dengan mereka supaya rekod-rekod kebangsaan yang dicipta pada temasya kali ini diiktiraf.
“Ini kerana, atlet terlibat telah buat yang terbaik untuk pecahkan rekod itu dan perlu diberi penghargaan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE