BOS mahu bangkitkan semangat harimau

BOS mahu bangkitkan semangat harimau

PENYOKONG BOS bersedia menaikkan semangat Harimau Selatan dan menggamatkan Bukit Jalil dengan sorakan serta paluan gendang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Biarpun penyokong Terengganu FC tampak lebih teruja untuk menikmati final Piala FA malam ini, namun Johor Darul Ta’zim (JDT) juga bakal menerima sokongan tidak berbelah bagi, termasuk daripada 3,000 anggota Boys of Straits (BOS).

Wakil ketua BOS, Farihin Johari berkata, paluan 20 buah dram serta sorakan padu bersama penyokong skuad Harimau Selatan yang hadir akan bergema sepanjang perlawanan itu merentap emosi pasukan lawan.

Kempen satu penyokong satu bendera yang dilakukan akan menyaksikan Stadium Nasional Bukit Jalil ditenggelami lautan biru, seterusnya menenggelamkan semangat juang Penyu.

Selaku pemain ke-12 JDT, mereka akan memberi sokongan padu bagi memastikan misi kelab memburu Piala FA ketiga akan menjadi kenyataan.

“Setelah sampai ke peringkat ini, pastinya kita mahukan kemenangan buat JDT setelah kali terakhir menjulang Piala FA 2016. Sudah tentu kami tak mahu pejuang kami hampa dan pulang tangan kosong.

“Kami amat berharap Piala FA akan kembali ke Johor, sekali gus menutup kedukaan kita pada final Piala Malaysia yang lalu apabila kita kalah kepada Kuala Lumpur City FC,” katanya.

Sebanyak 60 buah bas digunakan BOS untuk membawa penyokong menghangatkan final Piala FA yang mempunyai keistimewaan tersendiri.

Pihaknya akan menjalankan tugas meniup semangat juang pemain Harimau Selatan untuk menambah koleksi Piala FA yang pernah dimenangi pada 1998 dan 2016.

“Harapan saya permainan berlangsung dengan baik, begitu juga dengan suasana di dalam stadium. Kita tak nak ada berlaku kontroversi baik sebelum perlawanan dan juga selepas perlawanan, harap ia berjalan lancar dan semoga pasukan terbaik menang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN