LONDON: Tiada pengalaman menguruskan kelab besar atau beraksi di pentas elit, Graham Potter berkata, dipilih sebagai pengurus Chelsea satu penghormatan amat besar buatnya.
Semalam, Chelsea mengumumkan Potter, 47, sebagai pengganti Thomas Tuchel yang dipecat sehari selepas pasukan itu tewas mengejut 1-0 kepada Dinamo Zagreb dalam saingan Liga Juara-Juara, Rabu lalu.
Potter yang sebelum ini membimbing Brighton diberi kontrak lima tahun, dengan tugasan pertamanya bersama Blues adalah menentang Fulham dalam aksi Liga Perdana hari ini kecuali perlawanan ditunda kerana kemangkatan Ratu Elizabeth II.
Dikenali sebagai ‘pakar inovasi’, Potter yang beraksi di posisi bek kiri bersama Southampton dan Birmingham City ketika zaman sebagai pemain mengetepikan bekas pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino serta Ruben Amorim (Sporting Lisbon) dua lagi calon yang dipertimbangkan.
Chelsea Football Club is delighted to welcome Graham Potter as our new Head Coach! 🤝
— Chelsea FC (@ChelseaFC) September 8, 2022
“Saya sangat bangga dan teruja dapat membimbing Chelsea, sebuah kelab besar yang menakjubkan.
“Saya teruja untuk bekerjasama dengan kumpulan pemilik baharu Chelsea dan bertemu pemain serta pasukan pembangunan kelab.
“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada Brighton & Hove Albion kerana mengizinkan saya menerima peluang hebat ini, terutama Tony Bloom serta barisan pemain, kakitangan dan penyokong,” kata Potter.
Potter membawa bersamanya penolong jurulatih dari Brighton, Billy Reid, Bjorn Hamberg, Bruno serta jurulatih penjaga gol, Ben Roberts, selain jurulatih pencari bakat, Kyle Macaulay. – AGENSI