PETALING JAYA: Selepas memimpin Kuala Lumpur City (KL City) melakar sejarah mara ke final Antara Zon Piala Asia, Paulo Josue mencabar rakan-rakan sepasukan memburu pencapaian lebih besar.
Kapten skuad The City Boys itu memainkan peranan penting ketika membantu KL City menang 3-1 ke atas ATK Mohun Bagan FC biarpun beraksi di depan penyokong tuan rumah di Kolkata, India kelmarin.
Anak-anak Bojan Hodak kini akan berdepan kelab Uzbekistan yang turut mara ke pentas final buat kali pertama, Sogdiana pada 5 Oktober ini.
“Seperti kata jurulatih, kami adalah kelab kecil, jadi kami tidak pernah mempunyai tekanan, dan jurulatih tidak pernah menekan kami untuk memenangi perlawanan sukar ini.
“Saya gembira menjadi sebahagian sejarah ini tetapi kami masih menulis kisah perjalanan kami. Saya berharap pasukan dapat meneruskannya ke peringkat lebih tinggi.
“Saya hanya mahu menikmati masa ini kerana kerjaya bola sepak sangat singkat dan anda perlu menikmati semua detik yang anda ada,” kata Josue.
Bintang tengah kelahiran Brazil itu memberi permulaan sempurna buat KL City apabila membuka jaringan pada minit ke-60.
Dia kemudian mencipta gerakan untuk gol kedua pasukan pelawat yang disempurnakan oleh Fakrul Aiman, dua minit memasuki waktu kecederaan.
Romel Romales melengkapkan gol ketiga skuad The City Boys, tiga minit berselang.
Aksi di Stadium Vivekananda Yuba Bharati Krirangan berlangsung sengit sehingga hujung permainan apabila Mohun Bagan hampir mengheret saingan ke masa tambahan selepas Fardin Molla meledak gol penyamaan di minit ke-90.
Begitupun sepakan percuba hebat daripada Josue yang disudahkan oleh Fakrul memastikan perlawanan ditamatkan dalam masa sebenar.
Sementara itu, pegendali KL City, Bojan Hodak berkata, bermain dengan kesabaran adalah kunci utama kejayaan KL City.
“Jika anda bermain di tempat sendiri di depan penyokong, anda mesti menyerang, sebab itulah tugas kami dalam perlawanan ini adalah bersabar jadi itulah sebab mengapa tugas kami hanya untuk bersabar.
“Kami tahu lambat laun, mereka akan membuka ruang untuk kami menjaringkan gol. Ini adalah sesuatu yang kami rancang sebelum perlawanan.
“Kami datang ke sini untuk menang, dan secara taktikal kami tahu apa yang perlu kami lakukan.
“Apa sahaja yang kami rancangkan di bilik persalinan, pemain memberikan persembahan, jadi saya lebih gembira,” katanya.