LONDON: Rekod Tottenham agak ‘mengerikan’ setiap kali bertandang ke Chelsea, malah pertemuan dua kelab London itu juga tidak memihak Spurs.
Begitupun pengurus Tottenham, Antonio Conte tidak gentar, malah mengarahkan anak-anak buahnya bermain secara menyerang dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge hari ini.
Di bawah bimbingan Conte, Tottenham meledak 51 gol dalam liga musim lalu, jumlah yang tinggi dan harus diberi perhatian oleh Blues.
Conte percaya, Spurs memiliki serangan ampuh dan ia terbukti apabila mereka membuka kempen Liga Perdana dengan membedil Southampton 4-1, Sabtu lalu.

“Statistik bercakap dengan jelas. Setiap pasukan yang saya latih, sentiasa menjadi pasukan menyerang terbaik
“Dalam bola sepak, saya suka permainan menyerang. Kami datang ke Stamford Bridge dengan misi mencari lebih daripada satu gol, kerana kami harus sentiasa berfikiran untuk mencari kemenangan,” kata Conte.

Musim lalu, Spurs sangat bergantung kepada kombinasi Son Heung-min dan Harry Kane, yang kedua-duanya amat tajam di depan gawang.
Heung-min menamatkan musim 2021/2022 dengan berkongsi penjaring terbanyak liga bersama penyerang Liverpool, Mohamed salah.
STERLING SENJATA BLUES
Chelsea pula memiliki senjata baharu, Raheem Sterling yang akan membentuk gandingan serangan bahaya bersama Mason Mount serta Kai Havertz.
Biarpun memulakan liga dengan agak perlahan apabila memerlukan penalti Jorginho untuk menewaskan Everton 1-0, Ahad lalu, namun trio Sterling-Mount-Havertz dijangka menjadi ancaman terbesar liga.

“Mereka (Tottenham) kelihatan seperti selangkah di depan kerana peralihan pemilikan kelab menyebabkan Chelsea lambat menyambar pemain baharu pada jendela perpindahan.
“Bagaimanapun itu tidak bermakna mereka akan memenangi perlumbaan,” kata Tuchel. –AGENSI