PETALING JAYA: Selepas 11 tahun tidak menjejakkan kaki ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Terengganu FC amat teruja apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) ‘rumah’ Harimau Malaya itu sebagai venue perlawanan akhir Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 10 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab. Rasid Jusoh berkata, memandangkan skuad Penyu jarang memasuki pentas akhir kejohanan utama, beliau dan delegasi kelab datang sendiri meninjau keadaan di stadium berkenaan semalam.
“Semua peminat Terengganu FC memang tertunggu-tunggu hendak datang ke sini bagi menyaksikan perlawanan tersebut selepas 11 tahun tidak menjenguk ke Bukit Jalil.
“Kalau kita tengok keadaan di sini, situasinya sangat sesuai untuk diadakan perlawanan akhir, melihat kepada kemudahan yang terdapat di Stadium Nasional.
“Saya sangat gembira kerana Stuart Ramalingam (CEO MFL) sendiri turun memberikan penerangan mengenai tunjuk arah terutama dalam soal tempat duduk melibatkan VVIP, VIP dan semua penyokong Terengganu,” katanya.

Kali terakhir Terengganu beraksi di SNBJ adalah pada 2011, di mana mereka muncul juara Piala FA menewaskan Kelantan 2-1.
Terengganu pernah menjuarai Piala FA dua kali termasuk pada 2000 serta muncul naib juara pada 1999 dan 2004.
Dalam masa sama, Ab Rasid menasihatkan penyokong Terengganu agar menjaga tingkah laku serta berdisiplin semasa menyokong pasukan pada hari perlawanan.
“Kepada penyokong Terengganu, ketika teruja berikan sokongan kepada pasukan, saya menyeru agar mereka sentiasa berdisiplin.
“Apa-apa yang berlaku, kita sebagai orang timur yang punyai budaya menarik, hendaklah menjaga tingkah laku.
“Jika keputusan kurang memihak kepada kita, berundur secara baik dan jangan buat sebarang perkara yang kurang menyenangkan, itu sahaja seruan saya kepada semua penyokong yang saya sayangi,” katanya.