Semoga ‘kisah dongeng’ KL City berakhir dengan indah

Semoga ‘kisah dongeng’ KL City berakhir dengan indah

PEMAIN Kuala Lumpur City meraikan kejayaan menumpaskan PSM Makassar 5-2 untuk memenangi perlawanan akhir Piala AFC Zon Asean di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras kelmarin. - UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City Bojan Hodak sama sekali tidak menjangka anak buahnya mampu mara sejauh ini, namun dia mengharapkan kejayaan itu bakal dinoktahkan dengan menjuarai Piala AFC.

Hodak sebelum ini telah mencipta sejarah buat The City Boys apabila menamatkan kemarau 32 tahun dengan menjulang Piala Malaysia musim lalu dan kini ‘skrip’ itu diteruskan apabila memenangi saingan akhir Piala AFC Zon Asean.

“Piala Malaysia sebelum ini adalah satu kisah dongeng, begitu juga dengan apa yang kita lalui dalam Piala AFC musim ini.

“Setiap kisah perlu ada penamat jadi kita teruskan impian kita dalam Piala AFC. Saya harap kita dapat penamat yang indah. Ini sesuatu yang tidak kita jangkakan kerana kita adalah pasukan yang kecil di Malaysia tetapi kami adalah pasukan yang be­kerja keras,” kata Hodak.

Kejayaan memenangi final Zon Asean membolehkan KL City, kelab yang hanya mempunyai bajet RM10 juta setahun menikmati ganjaran AS$100,000 (RMRM447,450).

Habuan lebih lumayan, AS$1.5 juta (RM6.71 juta) pula akan menanti jika mereka berjaya merangkul kejuaraan, manakala AS$750,000 (RM3.36 juta) habuan buat naib juara.

Kata Hodak, siapa pun lawan yang bakal ditentang pada separuh akhir tidak mudah kerana kelab yang berjaya melangkah sehingga ke separuh akhir pas­tinya pasukan yang amat baik.

“Apa pun, ini (kejayaan Piala AFC) adalah hadiah daripada KL City sempena Hari Kemerdekaan yang akan tiba tidak lama lagi,” kata Hodak.

Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur kelmarin, KL City menundukkan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2.

Jaringan tuan rumah disempurnakan oleh Romel Morales, Jordan Mintah, Paulo Josue (dua gol) dan Hadin Azman.

KL City sepatutnya berdepan wakil India, ATK Mohun Bagan dalam separuh akhir Antara Zon, namun status lawan mereka belum dapat dipastikan kerana Persekutuan Bola

Sepak Seluruh India (AIFF) digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sekiranya penggantungan­ muktamad, KL City akan mendapat kemenangan percuma untuk bertemu kelab dari ­Uzbekistan atau Hong Kong dalam final Antara Zon pada ­5 Oktober 2022.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN