Piala Tun Ali: Melaka ke suku akhir

Piala Tun Ali: Melaka ke suku akhir

AKSI pemain Melaka sebelum menewaskan Sabah untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tuan rumah, Melaka menepati ramalan menempah tiket ke suku akhir acara regu dan beregu pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini hari ini.

Dalam acara regu, dua kemenangan berturut-turut menewaskan Kedah 21-11, 21-10 dan Sabah 17-21, 21-17, 21-8 sudah cukup memastikan kemaraan ke suku akhir Kumpulan B.

Pertemuan terakhir menentang PDRM esok adalah bagi menentukan juara serta naib juara kumpulan B sebelum aksi suku akhir berlangsung Jumaat ini.

Begitupun, skuad Melaka dibarisi Shahidan Md. Ali (tekong), Mohd. Muqlis Borhan (apit kiri) dan Loesak Kuram (apit kanan) cemas seketika setelah tewas pada set pertama 17-21.

Namun tindakan bijak memasukkan tekong kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi pada set kedua berjaya menghidupkan peluang tuan rumah apabila menang 21-17 mengajak perlawanan berlanjutan ke set ketiga serta menang mudah 21-8.

Pengurus pasukan, Ridzuan Ahmad berkata, Shahidan agak gemuruh menyebabkan banyak servisnya dibatalkan selain sangkut di jaring.

“Mujur kita buat keputusan tepat memasukkan Mohammad Syahir dan kita menang set kedua dan menang di set penentuan. Esok kita akan berdepan PDRM bagi menentukan juara kumpulan,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Dalam acara regu, turut mara ke suku akhir selain Melaka dalam Kumpulan B ialah PDRM, Johor (Kumpulan A) dan Pulau Pinang dalam Kumpulan C.

Dalam Kumpulan D, persaingan masih terbuka buat Singapura, Bomba, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan untuk melangkah ke suku akhir.

Sementara itu, dalam acara double, tuan rumah Melaka dan Perak turut mengesahkan kemaraan ke suku akhir bersama Kuala Lumpur dalam Kumpulan B.

Saingan terbuka dalam Kumpulan C pula membabitkan Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah dan Terengganu manakala dalam Kumpulan D terdiri daripada Johor, SSC Sarawak, Pahang, Bomba dan Penjara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.