LONDON: Dua musuh tradisi, Manchester United dan Liverpool akan berentap esok ketika masing-masing bergelut dalam aksi awal Liga Perdana.
Reds bertandang ke Theatre of Dreams selepas hanya mencatat keputusan seri dalam dua perlawanan pertama, dan kini ketinggalan empat mata di belakang pesaing utama, Manchester City.
Keadaan United jauh lebih teruk apabila terperosok ke dasar liga ekoran dua kekalahan berturut-turut.
Gagal menyudahkan banyak peluang punca Liverpool seri 2-2 dengan Fulham sebelum diikat 1-1 oleh Crystal Palace.
Krisis kecederaan memburukkan Reds menjelang pertemuan esok.
United di bawah pengurus baharu, Erik ten Hag tampak jauh lebih membimbangkan selepas kalah 1-2 kepada Brighton di laman sendiri dan dibelasah 4-0 oleh Brentford pada aksi terakhir.
BAHAYA HARIMAU LUKA
Berdepan masalah di semua posisi – pertahanan, te ngah dan serangan membuatkan Jurgen Klopp melihat kunjungan ke Manchester kali ini amat berliku.
Pengurus Reds itu dijangka menggandingkan Virgil van Dijk dengan Joe Gomez di bek tengah ekoran kehilangan Joel Matip dan Ibrahima Konate akibat kecederaan.
Pemain remaja sensasi, Harvey Elliott, 19, pula bakal mengisi ketiadaan perancang utama, Thiago Alcantara yang cedera.
Roberto Firmino yang baru pulih daripada kecederaan dan agak ‘berkarat’ ketika beraksi dalam perlawanan pembukaan liga, bakal membentuk serangan bersama Mohamed Salah serta Luis Diaz.
Ketiadaan Darwin Nunez yang digantung perlawanan dan Diogo Jota yang cedera menyebabkan Reds tidak banyak pilihan serangan.
RED DEVILS BERDEPAN PROTES PENYOKONG
Sementara itu, Ten Hag menyeru penyokong United bersatu di tengah-tengah kebimbangan protes akan diadakan terhadap pemilik kelab.
Kata jurulatih kelahiran Belanda itu, seperti pemilik kelab lain, keluarga Glazer juga mahukan kemenangan.
Biarpun baru membeli bintang Real Madrid, Casemiro dengan yuran perpindahan 60 juta pound (RM318 juta), namun United mungkin tidak sempat menggunakan pemain tengah Brazil itu untuk perlawanan esok.
Ten Hag mempertimbangkan untuk meletakkan bek tengah Argentina, Lisandro Martinez di bahagian tengah, manakala Cristiano Ronaldo dijangka membentuk trio serangan bersama Marcus Rashford dan Jadon Sancho.