PETALING JAYA: Pemain Sarawak United akan menerima tunggakan gaji selewat-lewatnya minggu depan.
Jaminan itu diberikan oleh Presiden Sarawak United, Datuk Posa Majais dna peruntukan untuk pembayaran gaji, termasuk yang tertunggak sudah diluluskan beberapa hari lalu.
Kata Posa, pihaknya akan menyelesaikan tunggakan gaji pemain secara berperingkat, sekali gus tidak akan timbul lagi isu berkenaan pada masa akan datang.
“Peruntukan pembayaran gaji termasuk yang tertunggak berjumlah lebih RM2 juta sudah diluluskan dan barisan pemain akan menerima bayaran mereka.
“Kami sedaya upaya menyelesaikan masalah itu, malah ada antara pemain mengambil wang ‘advance’ (pendahuluan) daripada pihak pengurusan dalam tempoh berkenaan.
Setakat hari ini, PFAM telah menerima laporan daripada beberapa orang pemain Sarawak United FC mengenai isu tunggakan gaji pemain yang pada ketika ini sudah memasuki 4 bulan. pic.twitter.com/MjLevu7Mdo
— PFA Malaysia 🇲🇾 (@pfamalaysia) August 24, 2022
“Jadinya, saya ingin tekankan bahawa pengurusan Sarawak United bukannya mengambil sikap sambil lewa, cuma mahu menunggu kelulusan peruntukan terlebih dahulu untuk membayar semua hutang terbabit,” katanya.
Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) kelmarin mengesahkan menerima bahawa pemain Sarawak sudah empat bulan tidak menerima gaji, malah ada yang dihalau dari tempat tinggal kerana pasukan tidak membayar sewa.
PFAM turut mengakui sudah mengeluarkan dua notis kepada Sarawak United dan mengakui pergerakan pembayaran dilakukan tetapi ia tidak dibayar secara penuh seperti mana nilai yang dijanjikan dalam kontrak setiap pemain.