LIVERPOOL: Darwin Nunez berikrar untuk belajar daripada kesilapan selepas dilayangkan kad merah kerana menanduk pertahanan Crystal Palace, Joachim Andersen dalam aksi Liga Perdana, Selasa lalu.
Gara-gara gagal mengawal emosi, Nunez yang membuat penampilan sulung bersama Reds di Anfield kini digantung dalam tiga perlawanan, termasuk pertemuan menentang musuh tradisi, Manchester United, Selasa depan.
Liverpool memutuskan untuk tidak merayu terhadap larangan yang dikenakan itu.
Disiplin buruk pemain antarabangsa Uruguay itu membuatkan Jurgen Klopp pening untuk mencatur strategi ketika seorang lagi penyerang mereka, Roberto Firmino pula berdepan kecederaan.
Nunez menerima banyak tindak balas sejak 24 jam lalu dan dia menggunakan media sosialnya untuk membalasnya.
“Saya sedar sikap buruk yang saya. Saya di sini untuk belajar melalui kesilapan itu dan ia takkan berulang.
“Saya minta maaf kepada Liverpool, semuanya. Saya akan kembali,” tulisnya dalam bahasa Sepanyol dan Inggeris bersama gambar dia melewati Klopp semasa menuju ke terowong.
Klopp turut menjelaskan kekecewaannya dengan memberitahu Sky Sports Nunez tahu tindakan itu mengecewakan rakan sepasukan.
“Dia tahu dia akan dicabar dengan cara ini, bahagian tengah akan melakukan itu tetapi ia bukan reaksi yang kami mahu.
“Kami akan menggunakan masa secara produktif. Kami akan menggunakan penggantungan untuk kerja fizikal bagi menjadikannya kuat, bukan sebagai hukuman,” katanya.
Kad merah yang diterima malam itu merupakan pengalaman ngeri yang membuktikan Nunez bersalah kerana memberi tindak balas buruk kepada Andersen hanya kerana pertembungan kecil. – AGENSI