Melaka berhempas pulas atasi ATM

Melaka berhempas pulas atasi ATM

MOHAMMAD SYAHIR Mohd. Rosdi dipeluk seorang peminat selepas Melaka menewaskan ATM 2-1 untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pengalaman menjadi jarak pemisah buat Melaka melangkah dengan bergaya ke separuh akhir selepas berhempas pulas menewaskan ATM 2-1 dalam aksi suku akhir Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2022 di Dewan Bola Keranjang Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Bukit Serindit di sini malam tadi.

Kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam menjadi suntikan semangat buat gandingan tiga pemain kebangsaan, Mohammad Syahir Mohd. Rosdi, Mohd. Muqlis Borhan dan Mohd. Khairol Zaman Hamir Akhbar bertarung hampir satu jam 40 minit untuk menang.

Tuan rumah dikejutkan oleh gandingan ATM dibarisi Muhammad Hairul Hazizi (tekong), Muhammad Afifuddin Mohd. Razali (apit kanan) dan Norfaizzul Abd. Razak (apit kiri) apabila tewas di set pertama 15-21.

Begitupun, semangat kental pemain Melaka dibantu sorakan penonton yang memenuhi setiap ruang dewan bangkit untuk mencatat kemenangan 21-19 dan terus cemerlang menang 21-18 di set penentuan.

Dalam aksi separuh akhir acara regu hari ini bermula pukul 3 petang, Melaka akan berdepan Pulau Pinang manakala Johor pula berdepan Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, Mohammad Syahir berkata, semangat tidak putus asa menjadi kekuatan untuk bangkit selepas tewas di set pertama untuk menang dua set lagi sebelum melangkah ke separuh akhir.

“Ini perlawanan yang cukup mendebarkan kerana setiap servis amat berharga. Saya akui pada set pertama, servis saya sering sangkut di jaring.

“Namun pada set kedua saya keluar sekejap menenangkan diri dan bila masuk semula akhirnya saya mendapat semula sentuhan servis mencari mata,” katanya.

Sementara itu, dalam acara beregu, Melaka turut menempah tempat ke separuh akhir apabila gandingan killer import dari Thailand, Loesak Kuram – Muhammad Faizulhairy Osman tidak berdepan masalah menewaskan Pulau Pinang menerusi kemenangan 21-16, 21-19 di suku akhir.

Dalam saingan separuh akhir Melaka akan berdepan ATM yang turut mara selepas mudah mengetepikan Johor dengan keputusan 21-15, 24-22.

Manakala Perak pula akan berdepan Kuala Lumpur dalam satu lagi aksi separuh akhir. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.