BARCELONA: Selepas Manchester United dan Chelsea, kini giliran Liverpool menunjukkan minat untuk mendapat bintang tengah Barcelona, Frenkie De Jong.
Masa depan De Jong di Camp Nou semakin samar selepas Barca berusaha menjualnya bagi mendapatkan dana tambahan untuk kelangsungan kelab yang berdepan dengan masalah kewangan.
Bagaimanapun, De Jong teguh dengan pendiriannya mahu kekal bersama gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Pemain kebangsaan Belanda tersebut telah menolak tawaran United sebelum ini kerana kelab itu juga sedang bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan tidak beraksi pada saingan Liga Juara-Juara.
Chelsea pula menunjukkan minat yang tinggi untuk menandatangani pemain itu, walaupun mereka juga berminat mendapatkan rakan sepasukan De Jong, Pierre-Emerick Aubameyang.

Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp pada asalnya tegas tidak akan membawa masuk sebarang pemain lagi ke Anfield musim panas ini, namun pengurus dari Jerman itu terpaksa mengubah pendirian susulan keadaan kurang memuaskan pasukannya dalam saingan liga.
Reds menghadapi situasi sukar apabila masih belum mencatatkan sebarang kemenangan dalam liga, selain berdepan masalah kecederaan membabitkan beberapa tonggak seperti Thiago Alcantara, Curtis Jones dan Naby Keita.
Alex Oxlade Chamberlain dan Jordan Henderson pula bergelut dengan masalah kecergasan serta prestasi.

Justeru Liverpool sanggup berhabis banyak untuk mendapatkan De Jong dengan menawarkan yuran perpindahan 53 juta pound (RM 280 juta), dengan tambahan 7 juta pound (RM37 juta).
Jumlah itu sememangnya sedikit jika dibandingkan dengan tawaran 85 juta euro (RM380 juta) yang dikemukakan United sebelum ini.
Bagaimanapun mengambil kira keadaan kewangan Barcelona yang makin meruncing, gergasi bola sepak Sepanyol itu mungkin akan mempertimbangkan tawaran Liverpool. – AGENSI