LONDON: Biarpun pengurus Liverpool, Jurgen Klopp pernah menegaskan, tiada lagi pemain baharu akan tiba di Anfield selepas kelab melakukan dua pembelian besar, Darwin Nunez dan Fabio Carvalho, namun situasi mungkin berubah melihat kepada perkembangan semasa.
Permintaan Naby Keita untuk meninggalkan Liverpool, selain isu kecederaan yang menghimpit Reds memaksa Klopp mungkin mencari seorang atau dua lagi pemain sebelum jendela perpindahan ditutup pada 1 September.
Keita, 27, yang berada pada 12 bulan terakhir kontraknya tidak gembira kerana jarang mendapat tempat dalam kesebelasan utama.
Menyertai Liverpool pada 2018 dari RB Leipzig, pemain Guinea itu gagal menyerlahkan potensi sebenar.

Krisis kecederaan yang menimpa Reds melibatkan dua bek tengah, Joel Matip dan Ibrahima Konate, selain Thiago Alcantara, Curtis Jones, Diogo Jota, Kostas Tsimikas, Alex Oxlade-Chamberlain, Calvin Ramsey serta Caoimhon Kelleher juga perlu ditangani segera.
Ketika Liverpool masih gagal mencatat kemenangan dalam dua aksi pembukaan Liga Perdana, penggantungan tiga perlawanan yang diterima Nunez memburukkan lagi keadaan.
Penyerang Uruguay itu dilayangkan kad merah gara-gara menanduk pemain lawan ketika menentang Crystal Palace, Selasa lalu.

Pemergian Sadio Mane, Divock Origi, Takumi Minamino, Neco Williams dan Ben Davies tampak memberi kesan kepada Reds yang seri 2-2 dengan Fulham dalam aksi pertama liga, diikuti 1-1 menentang Palace.
Pemain tengah Leicester, Youri Tielemans, bintang sayap Ajax, Antony dan Jude Bellingham (Borussia Dortmund) antara pemain yang dikaitkan dengan perpindahan ke Anfield.– AGENSI