KOTA BHARU: Selangor FC II terus ditimpa malang apabila mengalami kekalahan ketiga berturut-turut, kali ini dibenam 4-0 oleh Kelantan United dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.
Kekalahan terbaru itu bermakna, skuad Young Giants bimbingan Rusdi Suparman gagal melakar kemenangan dalam lima perlawanan, sekali gus menghuni tangga ketiga tercorot liga dengan 13 mata daripada 15 perlawanan.
Turun dengan misi memburu kemenangan, Kelantan memulakan pesta gol seawal minit ke-14 menerusi Julius Ziggy Ofori hasil serangan balas pantas.
Tuan rumah terus menjarakkan kedudukan menerusi jaringan rembatan kencang dari 25 meter menerusi Ofori pada minit ke-18.

Ketinggalan dua jaringan awal, Selangor FC II cuba bangkit namun gagal menembusi benteng pertahanan tuan rumah.
Babak kedua, pelawat cuba bangkit untuk merapatkan jurang jaringan namun masih gagal membelah benteng pertahanan tuan rumah.
Tersentak dengan serangan bertali-arus pelawat, Kelantan United hampir mendapat gol ketiga pada minit ke-52 namun percubaan Njoku Jacob sekadar menggegar tiang gol walaupun sudah berjaya menewaskan penjaga gawang Selangor FC II, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman dalam situasi satu lawan satu.
Jacob bagaimanapun membalas kekecewaan tersebut melalui jaringan gol ketiga pasukan tuan rumah pada minit ke-80 selepas menerima hantaran menarik dari Nik Akif Syahiran Nik Mat.
Selangor FC II yang cuba mencari sekurang-kurangnya satu gol dihukum sekali lagi apabila Muhammad Asraff Aliffuddin Yasin menjaringkan gol keempat tuan rumah pada minit ke-89.
Gol berkenaan bagaikan membunuh terus semangat juang Selangor FC II dan perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 4-0 berpihak kepada Kelantan United.
Kemenangan meletakkan Kelantan United di tangga kelima liga dengan mengumpul 24 mata hasil 16 perlawanan. – UTUSAN ONLINE