ALOR SETAR: Pengendali Sabah, Datuk Ong Kim Swee berpendapat, Kedah berdepan banyak tekanan sehingga tidak mempamer aksi terbaik musim ini.
Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya itu bagaimanapun percaya skuad Sang Kenari akan bangkit dengan prestasi lebih baik.
“Kedah memiliki ramai pemain berkualiti, mereka telah bermain bersama dalam tempoh agak lama.
“Setahu saya Kedah belum tewas di tempat sendiri dan mereka pasti bangkit, terutama dalam kempen Piala Malaysia,” katanya selepas membawa Sabah mengikat Kedah 1-1 dalam aksi Liga Super kelmarin.

Kali terakhir Sang Kenari menang adalah pada 19 Julai lalu ketika menewaskan Sarawak United 3-1 setelah dua kali merekodkan kekalahan kepada Terengganu FC.
Episod malang Kedah berulang selepas itu apabila tewas 1-2 kepada Kuala Lumpur City dan kalah 0-2 di tangan Pahang dalam Liga Super.
Kedah juga ditunjukkan jalan keluar dalam Piala AFC setelah tewas 1-2 kepada PSM Makassar pada separuh akhir zon Asean di Bali.

Sementara itu, Kim Swee yakin bekas pemain sayap lincah Kedah, Farhan Roslan yang menyertai Sabah pada akhir Jun lalu akan menjadi satu lagi aset berharga kepada pasukan Borneo itu.
Pemain berjersi nombor sembilan itu muncul watak penting Skuad Badak apabila mencetak gol penyamaan menerusi tendangan cantik kaki kirinya hasil umpanan silang Saddil Ramdani bagi memastikan Sabah tidak pulang dengan tangan kosong ketika dibawa masuk pada separuh masa kedua.

“Saya ambil Farhan pada pertengahan musim, kita tahu dia cukup berpengalaman, untuk berada dalam kesebelasan utama sudah tentu dia kena berusaha tapi saya tak fikir semua itu kerana siapa pun yang dimasukkan kena tunjuk komitmen tinggi.
“Ini dibuktikan Farhan apabila diberi peluang dia berjaya mengambil kesempatan, dia ada karier yang panjang dan saya gembira prestasinya kerana sebelum ini dia hanya beraksi dalam Liga Premier tapi tak dapat kesempatan bermain,” katanya.