PETALING JAYA: Kapten Kuala Lumpur City (KL City), Paulo Josue mengintai satu lagi sejarah buat dirinya dan pasukan di pentas Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Berdepan Viettel FC di Stadium Thong Nhat pada separuh akhir zon Asean Piala AFC, malam ini, pemain kelahiran Brazil itu tekad memimpin rakan sepasukan memburu kemenangan.
Mengetuai pasukan yang menjulang Piala Malaysia buat kali pertama dalam tempoh 32 tahun musim lalu, kini cabaran sama bakal digalas sambil mengakui tiada jalan pintas dan kemenangan ke atas Viettel FC bakal memberi 1,001 kenangan hebat sepanjang lima tahun berkelana di Malaysia.

“Saya cukup menikmati pengalaman pertama saya dan pasukan di pentas Piala AFC. Sudah pasti kami bangga dengan sejarah kelab dan bagi saya, selepas lima tahun bersama pasukan segalanya seakan terbalas.
“Sebagai pemain, kami sedang menikmati detik ini dan perjalanan kami tidak akan berakhir di sini kerana kami mahu merekodkan satu lagi cerita baharu buat pasukan.
“Saya pasti barisan kejurulatihan akan mencari dan mengumpul data tentang kekuatan lawan. Sasaran kami sudah pasti untuk memenangi perlawanan ini,” katanya.
Menyertai KL City pada pertengahan 2017, Josue berwaspada dengan ancaman yang mampu diberikan oleh Viettel FC, apatah lagi lawan bakal beraksi di depan ribuan penyokong sendiri.