LONDON: David de Gea meminta stesen televisyen, Sky Sports menemu bualnya selepas Manchester United tewas 4-0 kepada Brentford, supaya dia boleh meminta maaf atas kekalahan buruk pasukannya.
Penjaga gol Sepanyol itu melakukan beberapa kesilapan tidak sepatutnya, termasuk gagal menangkap kemas rembatan leret Josh Dasilva untuk gol pembukaan Brentford pada minit ke-10.
Lapan minit berselang, dia membuatkan United berputih mata apabila hantaran rendahnya gagal menemui rakan sepasukan, Christian Eriksen.
Situasi itu dimanfaatkan Mathias Jensen untuk melebarkan jurang buat Brentford.
“Saya rasa saya yang mengakibatkan pasukan kehilangan tiga mata hari ini. Saya akui saya beraksi sangat buruk, selepas kesilapan pertama, hadir pula yang kedua, ia hari yang teruk.
“Kesilapan yang saya lakukan memang boleh berlaku dalam bola sepak di peringkat profesional, saya sepatutnya menangkap kemas rembatan Dasilva, dan ia mungkin akan membawa perbezaan.
“Untuk gol kedua, saya tidak sepatutnya memberi bola kepada Eriksen. Memang kami sepatutnya bermain tetapi lawan menekan kami di setiap penjuru padang, dan saya patut membaca kedudukan mereka dengan lebih baik.
“Kekalahan ini mengakibatkan kami hilang tiga mata, kami harus bertindak lebih baik dan perlu untuk menjaringkan gol. Ini persembahan yang sangat buruk,” kata De Gea.
Dua lagi gol Brentford hadir menerusi Ben Mee dan Bryan Mbeumo dalam tempoh lima minit.
Situasi kian tegang di kem United apabila pengurus, Erik ten Hag mahu mendapatkan penjaga gol baharu sebagai pelan jangka panjang.
Dia menyasarkan Ilan Meslier dari Leeds United, namun perpindahan mungkin sukar berlaku dalam masa terdekat. – AGENSI