Acara beregu bawa tuah buat Thinaah

Acara beregu bawa tuah buat Thinaah

PEARLY TAN-M. THINAAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: M.Thinaah tidak menyangka keputusannya untuk beralih daripada acara perseorangan ke beregu tiga tahun lalu membuahkan hasil menakjubkan apabila dia meraih dua pingat emas pada Sukan Komanwel 2022 yang menutup tirai di Birmingham kelmarin.

Selepas muncul juara kebangsaan 2017, Thinaah tampak bergelut dalam acara perseorangan wanita, namun dia diberikan talian hayat oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk meneruskan karier sebagai pemain badminton, dengan syarat beralih ke acara beregu wanita.

Peningkatan ketara sejak digandingkan dengan Pearly Tan pada April 2019 menyaksikan mereka meneruskan penguasaan Malaysia dalam beregu wanita apabila mudah menumbangkan pasangan tuan rumah, Chloe Birch-Lauren Smith 21-5, 21-8 untuk menyumbangkan pingat emas ketujuh negara.

Kemenangan itu bukan sahaja membantu kontinjen negara melepasi sasaran enam emas yang ditetapkan, malah membutirkan emas kedua mereka selepas menghadiahkan mata kemenangan Malaysia ketika merampas kejuaraan berpasukan campuran, menewaskan India 3-1.

“Saya langsung tidak pernah memikirkan detik ini (meraih emas Komanwel) ketika membuat keputusan beralih daripada acara perseorangan kepada beregu wanita, malah tidak pernah menyangka akan dapat beraksi di saingan ini.

“Dari awal lagi memang saya dan Pearly meletakkan misi untuk meraih emas tetapi kami enggan letakkan tekanan yang tinggi.

“Kami sebenarnya hampir hilang keyakinan ketika suku akhir menentang wakil Singapura (Jin Yujia-Wong Jia Ying), namun kami berbincang dengan jurulatih, dan dia memberikan nasihat yang bagus untuk kami bangkit di separuh akhir.

“Kami akhirnya meneruskan momentum kami dalam perlawanan akhir,” kata Thinaah kepada Utusan Malaysia.

Pearly-Thinaah kini menjadi beregu wanita kelima Malaysia meraih emas Sukan Komanwel selepas Ang Li Pek-Lim Pek Siah (2002 Manchester), Chin Eei Hui-Wong Pei Tty (2006 Melbourne), Vivian Hoo-Woon Khe Wei (2004 Glasgow) and Lee Meng Yean-Vivian Hoo (2018 Gold Coast).

Selepas ini mereka akan bersiap menghadapi Kejohanan Badminton Dunia yang bakal berlangsung di Tokyo pada 21 hingga 28 Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya