Sasaran kecil tapi boleh menang lebih besar

Sasaran kecil tapi boleh menang lebih besar

NG TZE YONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memang mengecewakan apabila badminton yang tidak pernah gagal menyumbangkan dua pingat emas atau lebih pada Sukan Komanwel sejak 1990 hanya diletakkan sasaran satu emas di Birmingham 2022.

Sejak temasya di Auckland 32 tahun lalu, badminton sering menjadi pe­nyumbang tetap emas Malaysia, malah di Melbourne 2006 dan New Delhi 2010, sukan itu pernah menghadirkan empat emas.

Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj bagaimanapun memahami jika sukan itu tidak lagi di­letak sasaran besar pada temasya Birmingham yang berlangsung dari 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

“Bagaimana mereka mahu sumbangkan dua emas jika tiada yang boleh dijadikan sandaran. Kalau (Lee) Zii Jia ada, kita mungkin boleh harapkannya acara perseorangan lelaki dan berpasukan, kini dia tiada, saya rasa susah untuk dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selasa lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu me­ngumumkan sasaran Sukan Komanwel diturunkan daripada tujuh kepada enam emas, malah badminton yang sebelum ini menyasarkan dua emas mengurangkan sasarannya kepada satu.

Pengganti Zii Jia, Ng Tze Yong dilihat masih mempunyai jurang besar daripada pesaing­nya seperti juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew dan bekas pemain No. 1 dunia dari India, K.Srikanth.

“Bagaimanapun kejutan boleh berlaku dalam sukan, terutama dengan sistem mata badminton ketika ini.

“Anda boleh dapat mata mudah, dan dalam masa sama, boleh hilang mata dengan mudah,” kata James.

Sejak edisi 1990 di New Zealand, skuad badminton Malaysia tidak pernah bawa pulang kurang daripada dua pingat emas daripada temasya tersebut.

Bagaimanapun peluang ­Malaysia kali ini dilihat cerah dalam acara beregu campuran.

BAM membariskan dua ­pasangan yang agak kuat ke temasya itu iaitu, Chan Peng Soon-Cheah Yee See serta Tan Kian Meng-Lai Pei Jing.

Congakan James untuk Malaysia men­dapatkan satu lagi tambahan emas ada­lah dalam acara berpasukan.

Kuncinya terletak pada ­gandingan tiga beregu lelaki iaitu Aaron Chia-Soh Wooi Yik, beregu wanita, Pearly Tan-M.Thinaah serta mana-mana pasangan dalam ­beregu campuran untuk hadirkan mata.

“Harapan kita kini terhadap beregu lelaki (Aaron dan Wooi Yik), tetapi prestasi mereka juga terumbang-ambing.

“Tze Yong saya lihat adalah kuda hitam dalam saingan kali ini. Tidak banyak harapan, tetapi siapa tahu dia mungkin boleh buat kejutan,” tambah James.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya