Nafuzi pertahan persembahan pemain Terangganu - Utusan Malaysia

Nafuzi pertahan persembahan pemain Terangganu

PENYERANG Terengganu, Tchetche Kipre melakukan rembatan ke gawang Negeri Sembilan ketika kedua-dua pasukan bertembung dalam aksi Liga Super, malam kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Mohd. Nafuzi Zain, mempertahankan persembahan skuad kendaliannya selepas terikat 0-0 dengan Negeri Sembilan, malam tadi.

Pengendali muda itu sebaliknya menyifatkan aksi anak-anak buahnya sebagai hampir sempurna dan hanya dikecewakan ketumpulan penyudah di depan pintu gol lawan.

Namun Nafuzi enggan meletakkan kesalahan itu di bahu penyerang mereka, Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang bergelut dengan masalah prestasi sejak bersama skuad Sang Penyu musim ini.

“Secara keseluruhan kami bermain cukup baik. Dari minit pertama semuanya sempurna tetapi kelemahan TFC adalah ‘meletakkan’ bola di dalam jaring gol Negeri Sembilan.

“Dari segi keputusan memang satu kerugian (seri) selepas tewas aksi terakhir dan memang kami berharap untuk menang namun secara keseluruhan TFC telah bermain dengan baik.

“Saya tiada masalah dan mana-mana penyerang pun boleh terlepas peluang menjaringkan gol. Itu sahaja yang perlu ditingkatkan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan malam semalam.

Keputusan itu menyaksikan TFC sekadar mengutip satu mata dari dua perlawanan terakhir setelah tumpas 1-2 kepada Penang FC minggu lalu untuk berada di tangga ketujuh dengan 10 mata.

Nafuzi turut menafikan skuad bimbingannya berada dalam keadaan tekanan dengan rekod jaringan Tchetche dan Sherman dalam kempen musim ini menerima kritikan penyokong sendiri.

“Jika pemain-pemain tertekan kami tidak akan mampu mempamerkan prestasi bagus seperti malam ini (semalam). Saya lihat motivasi pasukan lebih baik berbanding sebelum ini.

“Walaupun gagal menjaringkan gol, saya lihat Tchetche dan Sherman tetap memberi sumbangan kepada pasukan ini,” tambah Nafuzi lagi.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya