Melaka 'keletihan', namun masih mampu kalahkan Selangor

Melaka ‘keletihan’, namun masih mampu kalahkan Selangor

AKSI pemain Melaka United, Ifedayo Olusegun (tengah) ketika bersaing dengan Richmond Tetteh Ankrah dari Selangor dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput malam tadi. - UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jurulatih Melaka United, Mohd. Asri Ninggal kagum dengan kesungguhan pemain beraksi cemerlang ketika menumpaskan Selangor 2-0 malam tadi biarpun tidak cukup rehat selepas berhempas pulas mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-1, dua hari lalu.

“Bertemu Selangor, pemain beraksi bersungguh-sungguh dan mampu bermain baik sepanjang 90 minit babak perlawanan mereka tidak kisah walaupun tidak cukup rehat.

“Pemain kekalkan momentum sewaktu menentang JDT dan akhirnya kita menang 2-0 ke atas Selangor. Pemain wajar diberikan pujian atas kejayaan ini,” ujarnya selepas tamat perlawanan.

Paling membanggakan kata jurulatih itu lagi, semangat yang ditunjukkan oleh Ifedayo Olusegun walaupun sepatutnya dia tidak disenaraikan dalam kesebelasan utama kerana kecederaan.

“Dia minta hendak bermain dengan pasukan lamanya. Saya timbang dab beri kebenaran serta hasilnya dia menjaringkan kedua-dua gol tersebut,” ujarnya.

PEMAIN Melaka United, Syukri Baharu (kanan) bersaing dengan pemain Selangor FC, Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau dalam aksi Liga Super malam tadi. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Sentuhan penyerang import dari Nigeria, Ifedayo menjadi pemusnah apabila dua jaringannya membantu Melaka menewaskan Selangor di Stadium Hang Jebat.

Ketika menentang JDT, Ifedayo bekas penjaring terbanyak Selangor tidak diturunkan dalam kesebelasan utama dan malam tadi dia membuktikan kehebatan sebenar.

Kemenangan bergaya itu membolehkan buat skuad Sang Kancil memperbaiki kedudukan daripada tangga kesembilan naik ke tangga kelapan dengan mengutip 12 mata.

Buat Selangor pula kekalahan buat kali ketiga itu membolehkan mereka turut memunggut 12 mata dan berada di tangga ketujuh Liga Super.

Ketika Selangor menguasai pentas saingan dengan asakan demi asakan dilakukan, tuan rumah tangkas meledak  jaringan awal menerusi Olusegun pada minit ke-38.

PEMAIN Melaka United, Ahmad Haziq Ahmad Puad (kiri) dam Mohamad Fadhli Shas (kanan) menyekat kemaraan pemain Selangor, Helison Caion dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik jurulatih, Michael Feichtenbeiner lantas mengatur gerakan mencari gol penyamaan.

Peluang terbaik hadir pada minit ke-41, menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi namun penyerang import, Caion lewat menolak bola ketika penjaga gol Melaka United, Tian Keat See sudah tertewas.

Pada minit ke-53, tuan rumah memasukan Syzwan Andik dan Mohamad Hasbullah bagi memperkukuhkan jentera skuad itu untuk memburu jaringan.

Sejurus selepas itu pemain gantian Mohamad Hasbullah membuat hantaran dari tengah padang tepat ke Ifedayo yang terus membuat larian solo hingga ke kawasan kotak penalti.

Dia  bijak mengelecek penjaga gol Selangor sebelum menolak masuk gol kedua pada minit ke-57. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya