PETALING JAYA: Datuk Sieh Kok Chi tidak pernah mengambil sesen pun duit Majlis Olimpik Malaysia (MOM) atau sesiapa sahaja, sebaliknya beliau sering mengeluarkan wang sendiri demi cintanya terhadap sukan tanah air.
Pemergian bekas Setiausaha Agung MOM itu yang meninggal dunia pada usia 84 tahun, Sabtu lalu amat dirasai melihat bagaimana mendiang mendedikasikan hidup kepada sukan.
Antara insan yang berduka dan terkesan dengan pemergian Kok Chi adalah bekas Bendahari MOM, Rosmanizam Abdullah yang merupakan sahabat rapat mendiang ketika hayatnya.
Ketika dihubungi Utusan Malaysia, Rosmanizam berkata, pemergian Kok Chi tiada galang ganti dan negara kehilangan seorang tokoh sukan yang amat berdedikasi serta telus ketika menjalan tugas.
“Kok Chi bukan orang yang suka ambil duit orang, mendiang sanggup buat apa sahaja demi sukan negara, orangnya sangat tegas dan telus.
“Semasa zamannya sebagai Setiausaha Agung MOM, terlalu banyak pengorbanan yang telah dilakukan beliau sehinggakan legasi yang ditinggalkan tidak mampu diikuti generasi hari ini,” katanya sebak.
Kok Chi mendedikasikan kerjayanya kepada MOM tanpa sebarang imbuhan sepanjang berkhidmat sebagai Setiausaha Kehormat dari 1992 hingga 2013, Setiausaha Agung (2013-2015) dan Penolong Setiausaha Agung (2015-2018).
Baginya, berkhidmat sebagai pegawai sukan bukan soal wang. Ia sepatutnya tentang keghairahan. Beliau sangat percaya dengan kesukarelawan dan itulah prinsipnya sehingga akhir hayat.

SIEH Kok Chi (atas, kiri) menjadi delegasi kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel di Auckland 1990. – IHSAN MOM
Begitupun, kesihatan beliau, yang dinobat sebagai Tokoh Sukan dalam Anugerah Sukan Negara (MSN), Mac lalu semakin merosot akhir-akhir ini, terutama selepas kematian anak kesayangannya, Seih Shen-Nern, 47, yang merupakan orang kurang upaya (OKU), Oktober tahun lalu.
Ketiadaan anak lelakinya yang kini menetap di Australia menyaksikan Pengurus Besar MOM, Fong Wan Hor dianggap seperti anak sendiri dan sering menemani Kok Chi ke mana-mana.
“Wan Hor ni dah dianggap seperti anak sendiri, sehingga kasut pun Wan Hor tolong pakaikan. Kok Chi memang dah sangat uzur tetapi bila pasal sukan dia bersemangat,” jelasnya.
Rosmanizam yang juga bekas Penolong Pengarang Utusan Malaysia berkata, kali terakhir bertemu mendiang ialah pada sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
“Beliau biasa datang ke rumah saya, setiap kali datang isteri saya mesti masakkan untuk Kok Chi. Mendiang gemar masakan isteri saya, paling dia gemar ialah mi kari,” ujarnya. – UTUSAN