PETALING JAYA: Kejayaan Hassan Sazali Waras membimbing skuad bola sepak bawah 19 tahun (B-19) negara menjulang Piala AFF, Jumaat lalu telah menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai kedudukannya.
Kemampuan Hassan membimbing Harimau Muda hadir tepat pada masanya ketika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) membuat keputusan bersama untuk menamatkan kontrak, Brad Maloney selaku ketua jurulatih skuad B-23 negara.
Enggan status Hassan terus menjadi bualan hangat dan perdebatan, Pengurus skuad B-19 negara, Mohd. Joehari Ayub menegaskan, tugas Hassan tidak akan diganggu, sekali gus kekal sebagai pengendali B-19 dan skuad Projek FAM-Majlis Sukan Negara (MSN).
Tegasnya, situasi tersebut hanyalah khabar angin dan buat masa ini Hassan akan terus menjalankan tugasnya dalam membimbing skuad remaja Harimau Malaya.

“Saya anggap perkara tersebut hanya spekulasi (mengenai Hassan bakal menggantikan Maloney). Justeru, saya tidak mahu memberi komen lebih lanjut.
“Buat masa ini biarlah kami mengekalkan pasukan ini dahulu kerana baru sahaja mengecapi kejayaan dengan menjuarai Piala AFF B-19.
“Namun, saya tidak mahu pasukan ini terlalu selesa kerana masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki tetapi secara keseluruhan, banyak perkara positif yang dibawa dari Indonesia berbanding negatif,” katanya.
Joehari yang juga merupakan Naib Presiden FAM percaya keputusan badan induk sukan bola sepak tempatan itu melantik Hassan selaku pengendali skuad Projek FAM-MSN mengisi kekosongan ditinggalkan Yusri Che Lah adalah langkah yang tepat.

“Kami lihat Hassan memiliki kelebihan daripada aspek mencungkil bakat muda dan tugasan yang diberikan kepadanya untuk menjadi ketua jurulatih skuad B-19 dan skuad Projek FAM-MSN tindakan yang bijak.
“Ini kerana ada kesinambungan selain memudahkan lagi barisan jurulatih untuk terus meneliti bakat muda bukan hanya daripada skuad Projek FAM-MSN, tetapi menerusi program pembangunan bola sepak negara (NFDP), Akademi Mokhtar Dahari (AMD dan pasukan feeder di Liga Perdana,” katanya.