fbpx

Pestans tidak iktiraf keputusan Astaf

Wan Mohd. Husni Abdullah

SEREMBAN: Tindakan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) menarik balik pelepasan penggantungan ke atas Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (Pestans), Wan Mohd. Husni Abdullah adalah tidak sah.

Wan Mohd. Husni berkata, ini kerana Astaf tidak lagi mempunyai kaitan dengan Pestans yang bernaung di bawah Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM).

Katanya, pada 20 Mei tahun lalu, PSM telah disingkirkan daripada Astaf sebelum mengiktiraf Konfederasi Sepaktakraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungannya.

“Oleh kerana itu, tiada lagi hubung kait antara saya dan juga Astaf yang membolehkan penggantungan saya dianggap sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau merujuk ke­nyataan media Presiden Astaf, Datuk Abdul Halim Kader, semalam yang memberitahu persekutuan itu menarik baik pelepasan penggantungan ke atas Wan Mohd. Husni.

Tindakan tersebut diambil atas dakwaan Wan Husni melanggar peraturan Astaf dengan memburukkan nama badan induk sepak takraw itu.

Sebelum ini, Astaf bertindak menggantung Presiden Pestans itu selama lima tahun mulai 9 Disember 2019 hingga 8 Disember 2024.

Wan Mohd. Husni menegaskan, PSM adalah satu-satunya persatuan yang diiktiraf oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bagi membawa pasukan sepak takraw negara ke Sukan SEA dan Sukan Asia.

“Saya atau mana-mana ahli bawah PSM masih boleh terlibat secara langsung dalam pembangunan sukan negara termasuk dalam kejohanan berkenaan kerana Astaf atau Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) hanya berfungsi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Teknikal sahaja,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN