‘Perjalanan saya bersama Bayern sudah tamat’

‘Perjalanan saya bersama Bayern sudah tamat’

Robert Lewandowski (depan, empat dari kanan) mengucapkan selamat tinggal kepada Bayern Munich selepas lapan tahun menyarung jersi gergasi bola sepak Jerman itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WARSAW: Robert Lewandowski mengesahkan perjalanannya bersama Bayern Munich sudah berakhir, namun tidak mendedahkan ke mana langkahnya selepas ini.

Penyerang Poland itu berkata, perpindahan adalah jalan terbaik buatnya dan dia percaya Bayern tidak akan menghalang walaupun mereka boleh berbuat demikian.

“Hari ini, sudah sah cerita saya bersama Bayern sampai ke penghujung. Saya tidak dapat membayangkan kerjasama seterusnya selepas apa yang berlaku sejak beberapa bulan lalu,” katanya.

Kontrak Lewandowski masih berbaki setahun dan terdapat laporan Barcelona telah membuat tawaran sebanyak AS$34.5 juta (RM151 juta) untuk menandatanganinya.

Dalam temu bual bersama stesen penyiaran Poland, Lewandowski yang genap 34 ­tahun pada Ogos ini memberi bayangan bagaimana dia akan menikmati kehidupan baharu di Sepanyol.

“Saya fikir, ia adalah tempat yang baik, bukan hanya pergi untuk bercuti di sana,” katanya yang turut memaklumkan dia memiliki rumah di Mallorca.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn dan pengarah sukan kelab itu, Hasan Salihamidzic sebelum ini menegaskan, kelab tidak akan melepaskan Lewandowski sebelum 2023.

Kahn berkata, dia kecewa apabila penyerang itu mengumumkan perkara tersebut kepada umum.

“Kenapa Lewandowski membuat keputusan ini? Saya tidak boleh beritahu anda. Kenyataan seperti itu tidak patut didedahkan kepada umum,” kata penjaga gol legenda itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN