Lapan atlet Melaka terima insentif RM81,000

Lapan atlet Melaka terima insentif RM81,000

SULAIMAN Md. Ali (tengah) bersama lapan atlet kelahiran Melaka yang menyumbang pingat kepada kontinjen negara dalam majlis penyerahan insentif di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai lapan atlet kelahiran negeri ini yang menyumbang pingat kepada kontinjen negara di Sukan SEA Hanoi 2021 di Vietnam, menerima insentif RM81,000 daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, walaupun pencapaian di Vietnam tidak menyamai kejayaan temasya yang sama di Filipina pada 2019 dengan 13 atlet membawa pulang pingat, namun pujian harus diberikan kepada mereka yang berjaya.

“Atas kejayaan yang diraih, kerajaan negeri amat berbangga dan berbesar hati menghadiahkan imbuhan dalam bentuk wang tunai di bawah Skim Hadiah Insentif Kemenangan Negeri Melaka.

“Insentif yang diberikan ini sama seperti yang diterima oleh beberapa atlet negara kelahiran Melaka sebagai menghargai sumbangan mereka membantu kontinjen negara.

“Keseluruhan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM81,000 bagi tujuan pemberian insentif tersebut, di mana penyumbang pingat emas individu menerima RM10,000, pingat perak RM8,000 dan gangsa pula memperoleh RM6,000,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Jaguh pemanah negara, Juwaidi Mazuki muncul penerima terbanyak meraih insentif sebanyak RM23,000 selepas memenangi dua emas dalam acara compound melalui individu dan berpasukan campuran, manakala perak bagi berpasukan lelaki.

Turut mendapat RM10,000 kerana meraih emas ialah G. Mateeshvar Antha (golf berpasukan lelaki), Johnathan Wong Guanjie (10 meter air pistol individu lelaki) dan Tan Zhi Yan (wushu acara taijiquan lelaki).

Dua perak menerima RM8,000 pula milik gandingan Man Wei Chong dan Tee Kai Wun dalam acara badminton berpasukan lelaki, manakala dua gangsa mendapat RM6,000 ialah Iman Aisyah Norazam acara memanah compound berpasukan wanita dan Sydney Chin Sy Xuan menerusi sukan wushu acara taijiqian wanita.

Juwaidi ketika ditemui berkata, beliau melahirkan rasa gembira atas insentif yang diberikan oleh kerajaan negeri dan berazam untuk meneruskan rentak kemenangan pada temasya Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China yang belum ditetapkan tarikhnya selepas ditunda.

“Itu sasaran utama saya selepas di Vietnam namun saya tidak pasti bila temasya itu akan diadakan selepas ditunda, sepatutnya berlangsung dari 10 hingga 25 September depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN