Harimau Malaya dah 'siap' hadapi kelayakan Piala Asia 2023

Harimau Malaya dah ‘siap’ hadapi kelayakan Piala Asia 2023

PEMAIN Malaysia meraikan gol kedua Safiq Rahim ketika menumpaskan Hong Kong di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persiapan Harimau Malaya menjelang kempen Kelayakan Piala Asia 2023 cukup menyakinkan selepas meraih dua kemenangan dalam tempoh enam hari pada dua aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas menewaskan pasukan ranking ke-191 dunia, Brunei 4-0 ,  anak-anak buah Kim Pan-gon meneruskan rentak kemenangan dengan mengatasi Hong Kong 2-0, sebentar tadi.

Ini adalah kemenangan pertama Malaysia ke atas Hong Kong yang berada di kedudukan ke-147 dalam tempoh 10 tahun sejak menang 3-0 dalam aksi persahabatan pada 2012.

Turun dengan skuad bayangan menjelang kempen kelayakan Piala Asia 2023, Harimau Malaya tidak menunggu lama menguji pelawat menerusi rembatan Safawi Rasid yang terkena pemain lawan minit kelima.

AKSI pemain Malaysia ketika menentang Hong Kong di Bukit Jalil malam ini. – UTUSAN/IQBAL ROSLI

Corak permainan pantas dan menekan lawan nyata memberikan kesan buat skuad bimbingan Jorn Andersen yang dilihat tertekan dan lebih banyak berkampung di kawasan sendiri.

 

Pertahanan Malaysia, La’Vere Corbin Ong hampir menggembirakan penyokong Harimau Malaya pada minit ke-13, namun tandukannya melewati palang gol ketika penjaga gawang Hong Kong, Paulo Cesar Da Silva sekadar memerhati.

Kubu Hong Kong terus diasak dan kali ini menerusi pemain sayap lincah, Arif Aiman yang memperdaya beberapa pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan namun gagal mengegarkan gawang gol.

Usaha keras dan berterusan anak didik Pan-gon memburu gol akhirnya terhasil menerusi sepakan penalti selepas Akhyar Rashid dijatuhkan pertahanan lawan.

Safawi yang ditugaskan tidak berdepan masalah meletakkan bola dalam gawang Hong Kong pada minit ke-30 untuk Malaysia berada di depan.

Malaysia seharusnya mampu beredar ke bilik persalinan dengan kelebihan dua gol, namun tandukan Darren Lok di penghujung babak kedua sedikit melewati palang gol.

Tiga minit babak kedua bersambung, Darren Lok berpeluang melebarkan kelebihan jaringan namun ketangkasan Da Silva menafikan hajat penyerang Petaling Jaya City FC itu.

Kelincahan Akhyar terus pada minit ke-53 menghadirkan gerun buat pelawat apabila dia berjaya menewaskan Da Silva yang meninggalkan posisinya namun tolakan Akhyar ketika gawang gol terbuka luas tidak menepati sasaran.

Bekas ketua pasukan Harimau Malaysia, Safiq Rahim memastikan kemenangan mutlak buat pasukan selepas menjaringkan gol kedua menerusi sepakan percuma dari luar kotak penalti pada minit terakhir perlawanan.

Skuad kebangsaan kini dalam rangka persiapan bagi mengasah taring sebelum berdepan tiga perlawanan Kelayakan Piala Asia 2023 bertemu Turkmenistan, Rabu depan, diikuti Bahrain (11 Jun) dan Bangladesh (14 Jun) dengan semua aksi berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN