LONDON: Bukan satu tetapi dua bintang Manchester City menjadi sasaran Chelsea, malah Blues sudah mengorak langkah untuk mendapatkan Raheem Sterling dan Nathan Ake.
Menurut Telegraph, selepas pemilik kelab, Todd Boehly berunding dengan pengurus pasukan, Thomas Tuchel, Chelsea terus menghubungi City bagi menyatakan minat terhadap Sterling.
Pemain sayap England berusia 27 tahun itu turut berminat menyertai kelab London tersebut, manakala pertahanan Belanda, Ake pula bersedia kembali ke kelab yang disertai ketika berusia 15 tahun pada 2012.

Chelsea juga melihat Raphinha, Richarlison dan Ousmane Dembele sebagai sasaran alternatif jika usaha mendapatkan Sterling gagal.
Tuchel berminat mendapatkan Ake semasa mengendalikan Borussia Dortmund, dan kemampuan pemain berusia 27 tahun itu beraksi di posisi bek kiri, kanan serta tengah menjadikannya pilihan menarik bagi menggantikan Antonio Rudiger.

Ake menghabiskan enam tahun bersama Blues dari 2012 hingga 2017, dan dia terbuka untuk kembali selepas gagal mendapat tempat dalam skuad utama di Etihad.
Blues dijangka mengeluarkan tawaran rasmi untuk Sterling dalam masa beberapa hari.
Begitupun, mereka perlu membayar gaji 300,000 pound (RM1.62 juta) seminggu yang dituntut bekas bintang Liverpool itu yang kini berada pada 12 bulan terakhir kontraknya. – AGENSI