KOTA BHARU: Dengan kebanyakan pasukan menambah kekuatan untuk menghadapi pusingan kedua Liga Perdana yang bersambung minggu depan, Kelantan FC menjangkakan cabaran lebih getir bakal menanti dalam usaha mempertahankan kedudukan pendahulu.
Lebih mencabar, selepas berehat hampir sebulan anak-anak buah Rezal Zambery Yahya yang hanya mendahului liga menerusi kelebihan satu mata bakal menyambung saingan dengan menentang pencabar utama, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Kota Bharu pada 27 Jun.
Kata Rezal Zambery, pasukannya tidak boleh melakukan banyak kesilapan, memanfaatkan setiap peluang dengan sebaik mungkin dan mengelak keciciran mata sebaik sahaja liga bersambung.
“Saya harap pemain tidak terlalu dibuai dengan rasa selesa ketika ini.
“Apa yang penting kita perlu fokus dalam setiap perlawanan untuk memastikan tiada mata yang tercicir.
“Jadi tempoh masa yang ada ketika ini akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memperbaiki segala kelemahan dalam pasukan,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Ditanya mengenai kemasukan pemain baharu, Rezal Zambery enggan mengulas sebaliknya menyerahkan kepada pihak pengurusan untuk memutuskan apa yang terbaik buat The Red Warriors (TRW).
Dalam perkembangan lain, Rezal Zambery mendedahkan transformasi yang sedang berlaku di Perak FC bakal memberi ‘tekanan’ kepada pasukan lain dalam saingan Liga Perdana.
Katanya, kehadiran Perak FC dengan wajah baharu pada pusingan kedua memperlihatkan kehadiran Bos Gaurus kali ini tidak boleh dipandang enteng.