fbpx

Aifa teruja bawa Jalur Gemilang di Sukan Komanwel

AIFA AZMAN

KUALA LUMPUR: Bintang muda skuasy negara, Aifa Azman teruja dan berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang memilihnya sebagai pembawa Jalur Gemilang dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham.

Pemain No. 28 dunia itu menggantikan S. Sivasangari yang di­timpa kemalangan kereta, Ahad lalu dan memerlukan masa selama tiga bulan untuk pulih.

“Pertama sekali saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pemilihan MOM yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria kerana memilih saya sebagai pembawa

Jalur Gemilang di temasya Sukan Komanwel 2022.

“Pemilihan saya ini ialah bagi mengantikan rakan sepasukan saya Sivasangari yang terpaksa menarik diri dari temasya tersebut.

“Saya berasa amat teruja dan gembira kerana ini kali pertama saya terpilih untuk membawa Jalur Gemilang di temasya tersebut,” kata pemain berusia 21 tahun itu kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada temasya empat tahun sekali itu, Aifa akan beraksi dalam acara perseorangan dan beregu wanita bersama Rachel Arnold.

Mengenai gandingannya bersama Rachel, Aifa berkata, dia sudah mula menjalani latihan bersama sebaik sahaja mendapat perkhabaran duka yang menimpa Sivasangari.

“Semalam (Isnin) kami berlatih bersama, percubaan kami untuk sesi pertama tidaklah seteruk yang disangka,” katanya. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!