MANCHESTER: Pengendali baharu Manchester United, Erik ten Hag memerlukan sekurang-kurangnya 115 juta pound (RM 503.58 juta) bagi mendapatkan pertahanan Ajax, Jurrien Timber dan penyerang Benfica, Darwin Nunez.
Ten Hag telah menyatakan hasrat dan tuntutannya kepada pengurusan tertinggi Old Trafford sejak tiba awal di kelab itu selepas keputusannya meninggalkan bekas majikannya Ajax.
Mengambil alih peranan ditinggalkan Ralf Rangnick, pengendali kelahiran Belanda itu, menjadikan Timber dan Nunez sebagai keutamaan.
Bagi memastikan impiannya tercapai, Ten Hag dikhabarkan akan melepaskan sekurang-kurangnya enam pemain utama pada musim panas ini untuk mendapatkan wang tunai.

Difahamkan Timber yang juga pertahanan antarabangsa Belanda berusia 20 tahun hanya akan dilepaskan Ajax dengan harga 35 juta pound (RM153.26 juta).
Kehadiran Nunez yang merupakan pemain Uruguay berusia 22 tahun di Old Trafford akan menelan kos sekitar 80 juta pound (RM350.32 juta).
Jumlah ini diperlukan kerana Benfica perlu membayar bekas kelabnya, Almeria 20 peratus daripada sebarang bayaran sebagai sebahagian perjanjian 22 juta pound (RM96.34 juta) yang menjadikan penyerang itu pemain termahal di Portugal hampir dua tahun lalu.

Sementara itu, kehadiran Timber pula akan meningkatkan tekanan kepada trio Harry Maguire, Rafael Varane dan Victor Lindelof di bahagian tengah.
Ten Hag bagaimanapun sudah menjelaskan sejak awal, dia mahu seseorang yang mampu membina permainan dari belakang.
Selain dua pemain tersebut, Red Devils juga menyasarkan bintang tengah Barcelona, Frenkie De Jong, namun ia bergantung kepada siapa pemain yang akan dilepaskan oleh pasukan itu. – AGENSI