Tok Gajah tiada masalah ke suku akhir

Tok Gajah tiada masalah ke suku akhir

PEMAIN Sri Pahang meraikan jaringan selepas menewaskan Projek FAM-MSN 3-0 di Stadium Darul Makmur di Kuantan, malam ini. - UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sri Pahang layak ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan skuad Projek FAM-MSN 3-0 di Stadium Darul Makmur di sini malam ini.

Sri Pahang yang tewas 1-2 dengan Sarawak dalam saingan Liga Super, Rabu lalu nampak lebih bersemangat untuk melangkah lebih jauh dalam saingan Piala FA.

Anak-anak buah Cristophe Gamel nyata tidak perlu menunggu lama untuk menembusi benteng lawan melalui gol pertama penyerang import dari Jordan, Mahmaud Zatara pada minit kelima.

Gol pertama itu nyata memberi semangat untuk pemain Sri Pahang melancarkan serangan bertali arus ke arah kubu pelawat.

Penjaga gol Projek FAM-MSN, Mohammad Nabil Asyraf terpaksa bekerja keras dalam tempoh dua puluh minit sebelum tewas buat kali kedua untuk Sri Pahang selesa mendahului 2-0.

Pada minit ke-27, sekali lagi Zatara memperolehi peluang menewaskan penjaga gol pelawat melalui tandukan yang sama seperti gol pertama.

PENJAGA gol Projek FAM-MSN, Mohammad Nabil Asyraf terpaksa bekerja keras menyelamatkan asakan Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF

Bukan tiada serangan balas yang dilakukan skuad muda negara tetapi mungkin kurang pengalaman dan keyakinan menjadikan bola banyak tersekat di benteng pertahanan Sri Pahang sehingga penjaga gol, Mamadou Samassa tidak perlu bekerja keras menjaga gawangnya.

Anak buah Hassan Sazali dikira bernasib baik dapat mempertahankan dua gol sehingga tamat separuh masa pertama kerana beberapa peluang untuk Sri Pahang menambah jaringan tidak membuahkan hasil.

Percubaan pemain Sri Pahang melalui dua sepakan deras Manuel Hidalgo dan sepakan percuma dari Azam Azih pada minit minit akhir berjaya ditepis keluar penjaga gol skuad Projek FAM-MSN.

Bersambung babak kedua, rentak perlawanan antara Sri Pahang dan skuad muda negara tidak banyak berubah.

Sri Pahang beraksi seolah-olah sudah selesa dengan bekalan dua gol dan tidak banyak melancarkan serangan berbahaya ke arah pintu gol pelawat.

Sementara pemain muda negara lebih selesa berkawal di kawasan sendiri tetapi akhirnya memberi peluang kepada pemain gantian, Shahrul Nizam melakukan jaringan ketiga Sri Pahang pada minit 89. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya