PARIS: Jurgen Klopp memberitahu penyokong Liverpool agar menempah hotel mereka untuk perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim depan di Istanbul selepas tewas kepada Real Madrid.
Real mengalahkan Liverpool 1-0 di Paris hari ini untuk melebarkan rekod memenangi kejuaraan Eropah buat kali ke-14.

Itu bermakna, Reds bukan sahaja gagal merangkul kejuaraan quadruple (empat trofi), malah kehilangan kedua-dua trofi utama yang diidamkan dalam tempoh seminggu – Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris.
Klopp yang membawa Liverpool muncul juara Eropah 2019 selepas kalah kepada Real dalam final 2018 bagaimanapun tidak terlalu bersedih dengan kekalahan di Stade de France kerana sedar pasukannya sudah memberikan permainan terbaik.
“Di mana final tahun depan? Istanbul?. Tempah hotel,” kata pengendali dari Jerman itu ketika ditanya apa pesanan yang hendak diberikan kepada penyokong Liverpool.

Ditanya sama ada bilik persalinannya sedih, Klopp berkata: “Ya sudah tentu. Bilik persalinan, tiada siapa merasakan ia musim yang hebat pada masa ini.”
Liverpool memenangi Piala FA dan Piala Liga musim ini tetapi menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana sebelum tewas kepada Real dalam perebutan gelaran Eropah. – AGENSI