BEIJING: Sukan Asia yang dijadualkan berlangsung di Hangzhou, September ini telah ditangguhkan, kata penganjur hari ini, ketika China sedang menghadapi kebangkitan semula kes Covid-19.
Tiada alasan diberikan untuk penangguhan itu tetapi China sedang bekerja keras untuk menghapuskan wabak tersebut.
“Majlis Olimpik Asia telah mengumumkan bahawa Sukan Asia ke-19, yang pada asalnya dijadualkan berlangsung di Hangzhou, China dari 10 hingga 25 September 2022 akan ditangguhkan,” kata satu kenyataan di laman web rasmi temasya.
Tarikh baharu untuk pertandingan sukan itu ‘akan diumumkan kemudian’, tambah kenyataan tersebut.

Hangzhou terletak berhampiran bandar terbesar di negara itu, Shanghai yang berdepan penutupan selama berminggu-minggu sebagai sebahagian daripada pendekatan toleransi sifar pemerintah terhadap Covid-19.
Penganjur dalam satu kenyataan bulan lalu berkata, Hangzhou, bandar raya di timur China yang mempunyai 12 juta penduduk telah selesai membina kira-kira 56 venue pertandingan untuk Sukan Asia dan Sukan Para Asia.
Pada masa itu, mereka menyatakan bahawa mereka merancang untuk mengadakan acara di bawah pelan kawalan virus yang ‘belajar daripada pengalaman berjaya’ Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, yang diadakan dalam ‘gelembung selamat’, Februari lalu. – AGENSI