MADRID: Real Madrid sudah di ambang penyingkiran sebelum dua jaringan Rodrygo di hujung permainan mengheret saingan ke masa tambahan dan Karim Benzema meledak gol kemenangan untuk membawa mereka ke final Liga Juara-Juara selepas menyingkirkan Manchester City secara agregat 6-5 hari ini.
City yang menang 4-3 pada separuh akhir pertama memegang kelebihan 5-3 secara agregat ketika permainan memasuki minit ke-90 selepas Riyad Mahrez meledak gol tunggal mereka di Santiago Bernabeu pada minit ke-73.
Bagaimanapun Rodrygo yang masuk sebagai pemain gantian, menjaringkan dua gol lewat yang luar biasa minit ke-90 dan ke-91 untuk mengikat kedudukan 5-5 secara agregat.

Hanya tiga minit memasuki waktu kecederaan, Benzema dikasari oleh Ruben Dias dalam kotak penalti dan dia tidak melakukan kesilapan apabila menyempurnakan penalti untuk mengesahkan kemenangan dramatik pasukannya.
Real kini di landasan untuk memburu kejuaraan ke-14 dan akan bertemu Liverpool dalam perlawanan akhir di Paris, 28 Mei ini.
Musim ini, Real turut mempamer kebangkitan luar biasa ketika mengatasi Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan 16 terakhir dan Chelsea di suku akhir tetapi pertemuan dengan City adalah kebangkitan paling dramatik.
City berdepan satu lagi kekecewaan apabila terpaksa menyaksikan Real mara ke final Liga Juara-Juara buat kali ke-17.
“Satu lagi malam ajaib daripada Raja Eropah.
“Ia adalah kehebatan kelab ini, sebuah kelab yang tidak membenarkan anda berputus asa walaupun nampaknya segala-galanya sudah berakhir,” tulis sepanduk yang terbentang di atas tempat duduk penonton sebelum sepak mula. – AGENSI