GLASGOW: Kapten Rangers, James Tavernier menyifatkan kejayaan membawa gergasi bola sepak Scotland itu ke final Liga Europa sebagai impian menjadi kenyataan selepas menumpaskan RB Leipzig 3-1 hari ini dan mara secara agregat 3-2.
Tavernier muncul penjaring terbanyak kejohanan selepas membuka jaringan untuk Rangers pada minit ke-18, dan Glen Kamara menambah gol kedua tuan rumah di minit ke-24.
Christopher Nkunku merapatkan jurang untuk Leipzig di babak kedua tetapi John Lundstram memastikan kemenangan Rangers sembilan minit sebelum tamat permainan.

Skuad kendalian Giovanni van Bronckhorst akan berdepan Eintracht Frankfurt pada final di Sevilla 18 Mei ini, penampilan final Eropah kedua mereka dalam tempoh 50 tahun.
“Kami mahu melakukannya untuk Jimmy. Saya amat berbangga di atas usaha pemain-pemain, kakitangan dan peminat hari ini.
“Ia perasaan yang sukar digambarkan, final Eropah. Ia sesuatu yang anda impikan. Kami akan turun dengan penuh keyakinan,” kata Tavernier. – AGENSI