LONDON: Mikel Arteta sudah mempersiapkan Arsenal untuk menghadapi perlawanan yang dianggap ‘detik penentu’ apabila bertandang ke Tottenham dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Jumaat ini, di mana kemenangan bakal mengesahkan tiket Liga Juara-Juara buat Gunners.
Dua gol daripada Eddie Nketiah membantu Arsenal menumpaskan Leeds 2-1 kelmarin, sekali gus mengukuhkan mereka di tangga keempat dengan kelebihan empat mata ketika saingan berbaki tiga perlawanan.
Menang di Stadium Tottenham Hotspurs akan mengembalikan Gunners ke kancah kelab elit Eropah buat kali pertama dalam tempoh lima tahun.
“Kami akan pergi ke perlawanan itu dengan semangat sama seperti yang selalu kami tunjukkan kerana sedar ia mampu menjadi detik penentu.
“Pemain amat bermotivasi untuk menang, saya sendiri tidak sabar hendak menghadapi perlawanan itu,” kata pengendali Gunners itu.

Dalam aksi di Emirates kelmarin, Nketiah sekali lagi cemerlang apabila meledak dua gol dalam tempoh 10 minit pertama permainan.
Gol pembukaan hadir seawal minit kelima, diikuti jaringan kedua pada minit ke-10 selepas dia mencuri bola dari jari kaki penjaga gol Leeds, Illan Meslier dan menyudahkan hantaran silang Gabriel Martinelli.
Biarpun Leeds terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Luke Ayling dibuang padang pada minit ke-27, namun Diego Llorente berjaya merapatkan jurang di babak kedua.
Gol tersebut bagaimanapun tidak memadai untuk menghalang Gunners daripada meraih tiga mata berharga. – AGENSI